PUTRAJAYA: Belum pun selesai isu pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang belum diluluskan sehingga kini, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Masyati Abang Ibrahim pula menamatkan tugas mengetuai Jabatan itu.
Utusan Malaysia difahamkan, beliau sudah beberapa bulan tidak bertugas di jabatan berkenaan dan jawatan itu belum diisi pengganti lain.
Masyati dilantik sebagai Ketua Pengarah ROS pada 23 Mei 2018 dan kini ditukarkan ke kementerian lain berikutan pusingan kerja biasa seorang penjawat awam.
Dalam isu status pendaftaran Pejuang, parti berkenaan telah memohon semakan kehakiman pada 10 Disember lalu untuk memaksa ROS membuat keputusan meluluskan atau sebaliknya pendaftaran parti secara rasmi sebagai parti politik di bawah Akta Pertubuhan 1966.
Ia juga bertujuan mendapatkan deklarasi daripada mahkamah bahawa kegagalan Ketua Pengarah dan ROS untuk menjawab sebarang permohonan atau komunikasi bertulis adalah tidak munasabah dan mempunyai niat mala fide untuk melengah-lengahkan pendaftaran Pejuang.
Borang pendaftaran lengkap untuk pendaftaran Pejuang telah dibuat sejak 19 Ogos lalu selain membuat pindaan terkini perlembagaan Pejuang pada 2 Oktober tetapi tiada maklum balas diberikan ROS.
Dalam perkembangan lain, Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah mendedahkan usaha untuk mendaftarkan Muafakat Nasional (MN) yang menggabungkan parti UMNO dan Pas juga menghadapi masalah di ROS.
Ini kerana, nama MN sudah digunakan pihak lain.
Oktober lalu, kepimpinan UMNO dan Pas mencapai persetujuan untuk mendaftarkan MN secara rasmi di ROS. – UTUSAN











