APABILA disebut nama bekas Menteri Besar (MB) Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, 76, yang terlintas dalam fikiran saya ialah tokoh korporat yang terlibat dengan peristiwa bersejarah ala kisah dalam filem James Bond, Guthrie Dawn Raid atau serangan waktu subuh yang berlaku pada awal pagi 7 September 1981.
Ia adalah langkah Permodalan Nasional Berhad (PNB) melaksanakan objektif Dasar Ekonomi Baru (DEB) untuk meningkatkan pegangan ekuiti bumiputera dengan mengambil alih Guthrie Corporation Limited (Guthrie), syarikat perladangan getah dan kelapa sawit milik British yang disenaraikan di Bursa Saham London (LSE) dalam tempoh kurang dari empat jam.
Kisah mengenai jasa Allahyarham yang dilahirkan pada 14 Disember 1946 di Kampung Jalan Raja Abdullah, Jeram, Kuala Selangor, Selangor boleh dibaca dalam buku ditulis Nicholas J. White bertajuk In Trust: A History of PNB pada 2018.
Rancangan untuk mengambil alih Guthrie telah disusun dengan begitu rapi oleh Pengerusi PNB ketika itu yang juga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tun Ismail Mohamed Ali dan Abdul Khalid, seorang pegawai muda berusia 35 tahun yang baru empat tahun berkhidmat dengan PNB.
Beliau ketika itu ialah Ketua Pegawai Pelaburan PNB. Mereka berdua berkomunikasi menggunakan kod rahsia seperti ‘merpati’ dan ‘helang’ dan menggunakan akaun bank rahsia di Switzerland atas nama Abdul Khalid untuk mengelakkan rancangan itu dihidu tali barut British.
Abdul Khalid juga menggunakan strategi dinamakan Chinese Wall yang menghalang individu dalam syarikat sama berkongsi maklumat bagi mengelak kebocoran.
Rancangan itu diketahui oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad yang ketika itu baru dua bulan menjawat jawatan Perdana Menteri keempat. Menteri Kewangan pada masa itu, Tengku Razaleigh Hamzah yang bersetuju menyediakan dana kerajaan sebanyak AS$1 bilion untuk membeli mata wang pound sterling.
Pengalaman Abdul Khalid yang pernah bekerja dengan syarikat Barings London yang merupakan penasihat kewangan kepada Guthrie telah digunakan sepenuhnya oleh beliau.
Ramai juga yang tidak tahu rancangan itu hampir gagal apabila syarikat dari Singapura pada saat-saat akhir tidak mahu menjual pegangan saham mereka kepada PNB tetapi berjaya diteruskan setelah Abdul Khalid mendapat bantuan syarikat milik kerajaan Kuwait untuk menjual saham mereka.
Kita juga patut tabik kepada Abdul Khalid dan pasukannya kerana dapat memujuk tokoh kewangan sangat dihormati kerajaan British, Sir Evelyn De Rothschild untuk memberi nasihat dalam menentukan harga-harga saham ingin dibeli.
Keluarga Rothschild adalah antara kumpulan terbesar menguasai sektor perbankan di Eropah ketika itu dengan nilai kekayaan pada 2021 dianggarkan AS$480 bilion.
Kerjasama Rothschild dan broker-broker saham di London membuatkan kerajaan Britain bingung kerana tidak menyangka warganegaranya sendiri ‘bersubahat’ dan menyifatkan kumpulan itu seperti burung hering yang hanya mementingkan wang dibayar kerajaan Malaysia.
Selepas kejayaan itu, Allahyarham dilantik sebagai Pengurus Besar PNB dari 1982 hingga 1985 dan kemudiannya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) PNB dari 1985 hingga 1994. Beliau menjadi CEO Kumpulan Guthrie dari 1995 sehingga kontraknya tidak diperbaharui pada 2003 dan antara legasinya adalah memperluaskan operasi syarikat kepada sektor bukan perladangan termasuk pembangunan hartanah.
Allahyarham memiliki Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan kepujian dari Universiti Malaya pada 1971 dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Universiti Queensland, Australia pada 1975.
Setelah menamatkan pengajian, beliau berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sebenarnya perjalanan hidup Abdul Khalid yang berkahwin dengan Puan Sri Salbiah Tunut dan dikurniakan empat anak agak berwarna-warni. Ini kerana Allahyarham juga seorang ahli politik yang pernah menjadi MB Selangor selama enam tahun dari 2008 hingga 2014.
Allahyarham menyertai PKR pada 2006 dan kemudiannya dilantik sebagai Bendahari parti itu. Beliau mencuba nasib pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok pada 2007 tetapi kalah kepada calon Barisan Nasional (BN) setelah media elektronik berulang kali menyiarkan ucapan tersasulnya, “Undilah BN.”
Kegagalan itu ditebus semula pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 apabila Abdul Khalid menang kerusi Ijok. Pada PRU sama, beliau berjaya memenangi kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.
Kejayaan Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PKR, DAP dan Pas menguasai DUN Selangor selepas PRU itu membolehkan Abdul Khalid mencipta sejarah sebagai MB Selangor pertama bukan dari BN.
Semasa penggal pertama sebagai MB Selangor (2008-2013), beliau melaksanakan beberapa polisi seperti memberi 20 meter padu air percuma kepada isi rumah di Selangor.
Ketika penggal kedua sebagai MB Selangor selepas PRU 2013, Allahyarham merancang menubuhkan Dana Pembangunan Bandar Selangor bagi membangunkan bandar-bandar bertaraf dunia di negeri itu tetapi tidak kesampaian apabila jawatan beliau diambil alih Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 23 September 2014.
Sebelum itu, pada 9 Ogos 2014, Abdul Khalid dipecat daripada PKR kerana mengingkari arahan parti untuk meletak jawatan sebagai MB Selangor dan menyerahkan jawatan itu kepada Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Langkah menyingkir Abdul Khalid juga dikatakan berpunca akibat PKR tidak berpuas hati kerajaan Selangor pimpinannya menandatangani perjanjian penstrukturan semula industri bekalan air dengan Kerajaan Persekutuan. Namun, Allahyarham mendedahkan pemecatan itu kerana beliau enggan menggunakan wang kerajaan negeri untuk membiayai program dan kempen PKR.
Selepas itu, beliau meneruskan peranannya sebagai wakil rakyat Bebas bagi Parlimen Bandar Tun Razak dan DUN Pelabuhan Klang. Allahyarham tidak mempertahankan kedua-dua kerusi itu pada PRU 2018.
Semoga Allah SWT merahmati dan menempatkan arwah dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Al-Fatihah. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.










