LANGKAWI yang juga dikenali sebagai Pulau Permata Kedah ini tentu sahaja menjadi pilihan destinasi percutian tropika yang paling istimewa di Malaysia.
Tidak hairanlah Langkawi begitu masyhur tidak kira siapa, pengunjung tempatan mahupun pelancong dari serata dunia kerana pelbagai sumber kekayaan tersembunyi di sini menarik ramai mengunjunginya.
Dikelilingi samudera biru, dan memiliki kawasan hutan nan menghijau serta air terjun antara yang tercantik di dunia. Langkawi telah dianugerahkan dengan status pusat rujukan UNESCO Global Geopark di Asia Pasifik. Wow, patutlah menjadi tumpuan ramai.
Tapi, adakah 10 tempat menarik ini pernah dikunjungi apabila menjejakkan kaki ke Pulau Permata Kedah? Jom, sama-sama kita terokai.
1. KOTA MAHSURI
Kota Mahsuri merupakan sebuah makam bagi memperingati kisah legenda silam seorang wanita bernama Mahsuri Pandak Mayah.
Mahsuri mempunyai kecantikan yang tiada banding. Namun sayangnya, kecantikan Mahsuri dicemburui oleh kakak iparnya lalu dia menyebarkan fitnah, menuduh Mahsuri berlaku curang kepada suami sendiri. Mahsuri telah dihukum tanpa bersalah bersumpah Langkawi menjadi gersang bak padang jarak padang tekukur selama tujuh keturunan.
Jika ke makam ini, pelancong berpeluang melihat sendiri keindahan reka bentuk dan seni bina rumah-rumah yang diperbuat daripada kayu yang dijadikan sebagai muzium, bagi mempamerkan beberapa barang kemas milik Mahsuri serta senjata yang digunakan untuk membunuhnya. Makam ini sentiasa dijaga rapi.
2. DATARAN HELANG
Sebuah tugu berbentuk burung Helang setinggi 12 meter ini merupakan ikonik Langkawi. Ia dibina bagi menzahirkan inspirasi disebalik nama pulau ini yang menggabungkan perkataan lang (helang) dan kawi (batu perang kemerah-merahan). Menghadap Jeti Kuah, helang gergasi ini adalah sebagai simbol yang mengalu-alukan kedatangan para pengunjung ke Langkawi. Sebelum pulang, wajib mengambil gambar kenangan di sini ‘tanda hadir’.
3. SKY CAB
Bagi yang tidak gayat, rebutlah peluang menaiki kereta kabel paling curam di dunia untuk menikmati pemandangan seluruh Pulau Langkawi. Pada ketinggian 708 meter dari paras laut, jika cuaca mengizinkan, pengunjung turut dapat melihat Selatan Thailand. Selain itu, bagi penggemar aktiviti outdoor atau berjalan kaki, Langkawi Skytrail menyediakan aktiviti untuk merentas hutan di stesen pertengahan Langkawi Skybridge, sebuah jambatan bengkok unik yang terletak di puncak tertinggi Gunung Mat Chinchang.
4. UNDERWATER WORLD LANGKAWI (UWL)
Ingin melihat Penyu Hijau Gergasi? Akuaria di UWL adalah tempatnya. Ia menempatkan pelbagai kehidupan akuatik. UWL ini adalah salah satu daripada akuaria marin dan air tawar terbesar di Asia Tenggara. Akuarium air masin ini mempunyai terowong pejalan kaki sepanjang 15 meter terletak berhampiran dengan pusat beli-belah dan bistro. Antara tarikan utama di UWL ini ialah Zon Ekosistem Hutan Hujan Tropika dan Sungai, Iklim Sederhana dan Sub-Antartika dan Marin, Zon Ikan Air Tawar, Pameran Kulit Kerang, Kolam Koi dan pelbagai lagi.
5. PERTUNJUKAN API DI PANTAI CHENANG
Siapa ke Langkawi pasti tidak melepaskan peluang untuk ke Pantai Chenang. Kawasan pantai yang meriah ini dipenuhi dengan sofa ‘bean bag’ berwarna-warni untuk menikmati matahari terbenam. Nikmati alunan muzik dan pertunjukan antaranya permainan belantan berapi, di mana ia diputar dan dilambung ke udara kemudian ditangkap semula serta menerangi suasana malam dengan cahaya yang berkilauan apabila api ditiup ke udara oleh pemain api profesional.
6. TAMAN GEORIMBA KILIM
Tapak geologi ini dipenuhi dengan flora dan fauna menakjubkan, deretan bukit batu kapur yang melindungi hutan paya bakau berusia, fosil, gua dan lagun serta pantai. Tumpukan pandangan pada kawasan paya bakau dan beting berlumpur, yang mana pasti dapat melihat pelbagai jenis hidupan yang menakjubkan. Selain daripada tupai, ketam lumpur dan monyet, pelancong juga dapat melihat biawak yang boleh terjun ke dalam air dengan mudah dan menyelam untuk satu jangka masa yang panjang.
7. MUZIUM LAMAN PADI
Kedah terkenal sebagai negeri jelapang padi Malaysia dan merupakan negeri pengeluar beras terbesar dalam negara. Langkawi membuka muzium ini pada 1998 untuk mempamerkan artifak berkaitan padi tempatan, carta, gambar dan peralatan menanam padi, sebagai salah satu cabang eko-pelancongan. Ia menonjolkan kepentingan sosial aktiviti penanaman padi konvensional yang tidak boleh disangkalkan, dan memberi peluang kepada para pengunjung untuk memahami sendiri teknik penanaman padi.
8. KOMPLEKS KRAF LANGKAWI
Kompleks Kraf Langkawi mula beroperasi sekitar 1996 dan dibina di Jalan Teluk Yu di Mukim Bohor, Pulau Langkawi. Ia menawarkan pelbagai pilihan produk kraf tangan tempatan yang berbeza dan pada masa sama, pengunjung berpeluang untuk melawat Muzium Warisan dan Muzium Adat Istiadat dan Perkahwinan. Selain aktiviti kraf tangan interaktif, rakam detik indah di Dataran Tangga Seribu, yang merupakan salah satu simbol di Kompleks Kraf Langkawi.
9. TAMAN AGROTEKNOLOGI MARDI
Taman agro ini terkenal kerana pengkomersialan pokok buah-buahan tropika dan tanaman herba. Boleh mengelilingi kawasan ini dengan menaiki pengangkutan yang disediakan. Selepas mengelilingi kawasan ladang, nikmati bufet buah-buahan tempatan yang menyelerakan. Terdapat lebih 20 jenis pokok buah-buahan tropika bermusim dan tidak bermusim ditanam di sini antaranya belimbing besi, jambu batu, limau, mangga, rambutan, pulasan, durian, cempedak, nangka dan longan.
10. 3D ART LANGKAWI
Terdapat lebih 100 karya seni yang dihasilkan oleh 23 pelukis Korea dan beberapa pakar tempatan yang berkemahiran. Ini merupakan muzium seni 3D yang kedua terbesar di dunia dan sudah pastinya terbesar di Malaysia. Kesemua karya 3D itu dipamerkan di dalam bangunan setinggi tiga tingkat. Terdapat beberapa zon atau segmen yang mempunyai temanya sendiri dan pelbagai jenis karya 3D antaranya gambar-gambar hidupan marin, hidupan liar, zon berinteraksi dengan karya seni dan zon mimpi.










