KEBELAKANGAN ini, ramai mula berkongsikan gambar-gambar keindahan kawasan pelancongan di sekitar Perlis di laman-laman sosial.
Ada sahaja tarikan baharu yang dikongsikan orang ramai khususnya di Facebook dan Instagram, sekali gus membuatkan ramai rasa tertarik untuk berkunjung ke lokasi-lokasi tersebut.
Pada cuti hujung minggu pula, kesesakan lalu lintas boleh dilihat sehingga beberapa kilometer terutama di Timah Tasoh yang menyediakan pelbagai tarikan baharu cukup menarik.
Jika dahulu, kawasan pelancongan di negeri ini dilihat hambar dengan banyak lokasi menarik terbiar begitu sahaja menyebabkan tarikan itu hilang, sekali gus mendorong rakyat Perlis lebih selesa bercuti ke negeri-negeri lain.
Namun, langkah drastik kerajaan negeri termasuk pihak swasta yang melakukan penambahbaikan di lokasi-lokasi pelancongan selain menyediakan tarikan baharu khususnya di Taman Eko-Rimba Bukit Air, Tanah Tinggi Wang Kelian, Tasik Timah Tasoh, Bukit Jernih, Kuala Perlis dan banyak lagi menyebabkan kawasan terbabit berubah wajah.
Malah, rakyat di negeri ini tidak perlu lagi pening kepala merancang untuk bercuti ke luar memandangkan Perlis sebenarnya sudah cukup kaya dengan lokasi-lokasi pelancongan menarik termasuk keindahan alam semula jadi.
Lebih menarik, Taman Negeri Perlis (TNP) khususnya, mempunyai pelbagai lokasi ekopelancongan termasuk spesies endermik cycas clivicola (pokok bogak) dan macaca arctoides (beruk kentoi) iaitu beruk yang terdapat hanya di Perlis, menerima kunjungan pelancong dalam dan luar negara.
Antara yang menjadi tarikan baharu di TNP adalah Galeri Gua Kelam, juga dikenali sebagai Galeri 3D terletak di Gua Kelam, Kaki Bukit.
Galeri sepanjang 68 meter tersebut merupakan pameran berbentuk gua yang memaparkan lima komponen terdiri daripada hutan Malaysia, hutan TNP, keunikan flora dan fauna TNP, gua dan pembentukan formasinya serta sejarah perlombongan dalam Gua Kelam.
Malah, hasil tarikan baharu berkonsepkan keindahan semula jadi itu, selain penambahbaikan di lokasi-lokasi pelancongan sedia ada menyumbang kepada peningkatan jumlah pelancong ke Perlis kebelakangan ini.
BUNGA MATAHARI
Selain arkib niaga Padang Besar, Gua Kelam, Tasik Melati, Taman Ular Batu Pahat yang sudah sinonim dengan pelancongan, Perlis sebenarnya mempunyai banyak lagi tempat menarik yang cukup kaya dengan keindahan alam semula jadi.
Antaranya, Bukit Tok Dun yang terletak di Ulu Pauh, Arau sering menjadi tumpuan mereka yang mahu melihat keindahan matahari terbit dan terbenam.
Malah, di Batu Pahat juga terdapat taman bunga matahari yang menjadi tarikan baharu pelancong selain pasar terapung di Pengkalan Asam, Kangar sekali gus tidak perlu kita menempuh perjalanan jauh ke Thailand atau Vietnam kerana boleh merasai suasana hampir sama.
ROCK CLIMBING
Bagi mereka yang meminati aktiviti memanjat dinding batu atau rock climbing, Bukit Keteri merupakan lokasi wajib pergi. Bukit Keteri adalah salah satu daripada laluan pendakian yang paling mencabar di Asia dan menjadi tumpuan pendaki dari seluruh dunia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan negeri, Asmaiza Ahmad berkata, jumlah pengunjung ke Perlis meningkat sejak kebenaran rentas negeri kembali dibenarkan.
Menurutnya, antara lokasi yang dipenuhi pengunjung adalah view point Wang Kelian dengan suasana di situ seolah-olah berada di Cameron Highlands, Pahang.
“Selain itu, Tasoh Lake Resort, Taman Rimba Eko- Batu Pahat, Pengkalan Asam (pasar terapung) juga antara yang menjadi tumpuan pelancong yang sering memenuhi kawasan itu. Jumlah terkumpul pelancong kita masih belum terima tetapi menunjukkan peningkatan,” katanya.
Sebelum ini, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa sektor pelancongan di negeri ini masih mempunyai masa depan yang cerah berikutan banyak produk pelancongan berasaskan alam semula jadi boleh dibangunkan sebagai tarikan. Difahamkan, kerajaan negeri juga sedang menyediakan pelan jangka panjang pelancongan, iaitu Pelan Pembangunan Pelancongan Negeri Perlis 2021-2023.
Bagi mereka yang masih mempunyai stigma ‘Perlis tidak ada apa’, bolehlah datang sekali bercuti ke negeri ini dan merasai sendiri nikmat keindahan alam semula jadi.
Selain menjadi transit pelancong ke Pulau Langkawi melalui Kuala Perlis, apa kata selepas pulang dari pulau bebas cukai itu, tinggallah sehari dua di Perlis dan terokai keindahan negeri ini.
PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Perlis.










