TINDAKAN beberapa orang individu mempersenda agama dan bangsa dalam persembahan di sebuah kelab komedi yang tular baru-baru ini tidak sewajarnya berlaku. Sebagai sebuah masyarakat berbilang bangsa dan agama, tindakan seumpama ini bukan sahaja mencetuskan kemarahan rakyat malah turut menjejaskan aspek perpaduan kaum yang kita junjung selama ini.
Hakikatnya, sejak merdeka aspek keutuhan perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat menjadi penyumbang utama kemajuan rakyat dan negara. Selama ini budaya bertolak ansur, menerima perbezaan, saling hormat menghormati kepercayaan orang lain serta semangat kenegaraan dijadikan asas untuk kita hidup bersama di bumi bertuah ini sebagai sebuah keluarga besar secara aman dan damai.
Namun, insiden yang berlaku baru-baru ini mencetuskan beberapa persoalan penting untuk kita jadikan panduan dan iktibar agar dapat bermuhasabah diri untuk menilai sejauh mana aspek perpaduan kaum yang ada dan dibanggakan selama ini betul-betul dihayati dan dijiwai oleh generasi sekarang khususnya golongan muda.
Antara persoalan kritikal yang bermain di minda sekarang, kenapa ada dalam kalangan warga kita yang masih tidak memahami keperluan untuk menjaga dan menghormati isu sensitif seperti ini sehingga sanggup menggunakan agama dan kaum sebagai modal lawak? Apakah mereka ini tidak sedar ia isu sensitif yang boleh meruntuhkan jambatan perpaduan yang kita bina dan pertahankan selama ini?
Tambahan pula, apakah individu seperti ini sedar agama Islam adalah agama rasmi dan agama bagi Persekutuan, maka perbuatan menghina Islam secara terbuka dalam masyarakat majoriti Muslim jelas bertentangan dengan peraturan serta suatu tindakan yang tidak boleh dimaafkan sama sekali?
Jadi, insiden ini sebenarnya wajar membuka mata dan minda kita semua untuk memahami isu lebih besar melangkaui sekadar apa yang berlaku dalam kelab komedi tersebut iaitu isu defisit perpaduan dan jati diri agak serius sekali gus membawa kepada keperluan untuk kembali memugarkan semangat perpaduan agar Keluarga Malaysia kekal teguh bersama.
Hal ini penting kerana jika kita tidak menangani isu seperti ini, dikhuatiri boleh mempengaruhi pemikiran dan tingkah laku anak muda. Golongan muda perlu disedarkan pemikiran dan tindakan berpaksikan pengaruh luar atas nama kebebasan dan liberal adalah tidak sihat untuk masyarakat majmuk seperti kita kerana boleh meruntuhkan segala budaya dan norma diamalkan selama ini.
Ironinya, memasuki detik 65 tahun usia kemerdekaan, sudah tiba masanya untuk kita menilai semula tahap perpaduan dan nilai jati diri yang ada dalam kalangan rakyat terutama generasi muda yang mungkin tidak begitu memahami keperitan generasi terdahulu yang sanggup melakukan pelbagai pengorbanan dan membentuk perpaduan yang jitu bagi mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah.
Justeru, kita perlu menangani dengan segera masalah defisit perpaduan dan kecelaruan jati diri yang mula melanda generasi yang ada pada hari ini melalui pemantapan elemen penghayatan terhadap Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan yang menjadi sumber rujukan utama dalam membina negara bangsa sekian lama.
Masyarakat perlu diingatkan kembali tentang keperluan untuk memahami dan berpegang teguh kepada kelima-lima prinsip Rukun Negara yang bertindak sebagai ideologi kebangsaan. Golongan muda terutamanya perlu diberi banyak pendedahan tentang kepentingan dan peranan Rukun Negara dalam mewujudkan sebuah masyarakat majmuk yang setia, bersatu padu, harmoni, bertolak ansur dan menghormati di antara satu sama lain.
Secara prinsipnya, Rukun Negara adalah nadi perpaduan rakyat Malaysia yang boleh menyumbang kepada kesejahteraan Keluarga Malaysia berpaksikan elemen keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran.
Misalnya, rakyat wajar memahami keperluan untuk setia kepada raja dan negara kerana raja dalam konteks Malaysia hari ini adalah simbol yang memperkukuh perpaduan rakyat walaupun terdapat perbezaan agama, kaum serta fahaman politik. Prinsip kedua Rukun Negara ini sebenarnya membantu menjadikan Malaysia terus maju dan kekal sebagai negara berdaulat.
Selain itu, penekanan juga perlu diberikan kepada prinsip kesopanan dan kesusilaan yang dilihat cukup sinonim dengan pelbagai insiden yang sedang berlaku pada ketika ini membabitkan sikap dan tingkah laku sebilangan masyarakat kita. Tingkah laku individu yang cuba mengganggu gugat ketenteraman awam dan perpaduan rakyat memberi gambaran seolah-olah masyarakat kita semakin lemah dari segi jati diri serta nilai kesopanan dan kesusilaan. Maka adalah perlu untuk menerapkan budaya hayati dan hormati Rukun Negara supaya isu kecelaruan sosial dan identiti warga kita dapat ditangani dengan baik.
Di samping itu, rakyat juga perlu terus dididik dan diingatkan untuk menghormati dan mematuhi semua intipati Perlembagaan Persekutuan yang menjadi undang-undang tertinggi negara sebagai panduan hidup masyarakat majmuk. Perkara yang terpateri kemas dalam perlembagaan seperti kedudukan agama Islam, bahasa Melayu dan hak keistimewaan orang melayu misalnya tidak boleh dipertikai, diperdebatkan mahupun dipersendakan kerana perbuatan seperti itu jelas melanggar undang-undang negara dan mencetuskan pelbagai kontroversi.
Jadi, rakyat perlu sedar apa implikasi negatif terhadap aspek perhubungan kaum jika kita gagal untuk menghayati Rukun Negara dan mematuhi Perlembagaan Persekutuan. Jujurnya usikan nakal terhadap isu-isu sensitif seperti agama dan bangsa boleh menghancurkan rakyat dan negara.
Sebagai warganegara yang bertanggungjawab, kita perlu sedar keamanan negara dan keharmonian antara kaum merupakan elemen penting yang memperteguhkan kehidupan seluruh Keluarga Malaysia. Jadi, elaklah menyentuh isu-isu sensitif yang boleh meruntuhkan jambatan perpaduan kaum dan hentikanlah perbuatan ‘bermain api’ serta sikap provokasi yang tidak mendatangkan sebarang manfaat. Jadikan Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan sebagai panduan dan perisai untuk mempertahankan jambatan perpaduan yang ada.-UTUSAN
PENULIS ialah pentadbir universiti & penganalisis isu semasa.











