SOUTHAMPTON 12 Feb. – Jurgen Klopp menyokong Mohamed Salah dan Roberto Firmino dicalonkan sebagai pemain terbaik selepas kedua-duanya meledak gol ketika Liverpool menumpaskan Southampton 2-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris, hari ini.
Salah, 26, mencipta gerakan kepada gol pembukaan yang disempurnakan Firmino seawal minit keenam untuk jaringan ke-20 penyerang Brazil itu bersama Reds (semua pertandingan) musim ini.
Firmino, 27, kemudian membalas dengan melakukan hantaran cantik menerusi kuisan tumit ke belakang untuk membuka laluan kepada Salah menyumbat gol kedua pada minit ke-42.
Harry Kane dan Sergio Aguero meletakkan diri sebagai pencabar anugerah Kasut Emas selepas turut meledak gol buat Tottenham serta Manchester City, Sabtu lalu tetapi Salah juga berada dalam kedudukan baik.
Selepas tamat 27 perlawanan, Kane mengumpul 23 gol, diikuti Salah 22 dan Aguero 21. Raheem Sterling (City) keempat dengan 15 gol, Jamie Vardy (Leicester) 13, manakala Firmino dan Romelu Lukaku berkongsi 12 gol.
“Saya fikir, Aguero dan Kane serta beberapa pemain lain juga adalah pemain yang bagus tetapi pemain kami sangat penting.
“Saya sukakan skil dan sikap mereka, namun apa yang lebih penting hasil kerja mereka sangat cemerlang. Mereka mendapat manfaat daripada gaya permainan pasukan, mereka bermain di posisi yang mereka gemari.
“Bagaimanapun dalam liga yang sangat mencabar, anda tidak mampu menduduki tangga ketiga tanpa pemain-pemain hebat. Mereka berdua adalah pemain yang hebat,” kata Klopp.
Bagaimanapun, tumpuan lebih terarah kepada Virgil van Dijk yang kembali ke St. Mary’ selepas bergelar pemain pertahanan termahal dunia dengan menyertai Liverpool dari Southampton menerusi harga 75 juta pound (RM409 juta).
Pemain Belanda itu diejek penyokong tuan rumah sepanjang permainan, namun tidak menghiraukan gangguan dan berjaya mempertahankan gawangnya daripada dibolosi. – AFP











