LEBIH lima kali. Ya sekitar dalam jumlah itulah, dia terjatuh dan terduduk di hadapan jemaah lain. Baik ketika berjalan atau sedang memakai baju atau di tandas pun, terleka sedikit, imbangan badannya tiba-tiba saja boleh jadi tidak stabil. Dan dia dalam berat badan yang agak gempal itu boleh menyembah ke bumi, sepantas kilat. Aida Agil, saya kenali di dalam lagu Segalanya Pasti, hanya sekadar itu kerana selepas musim popularnya berakhir, dia menetap di Johor Bahru dan kemudian sepi tanpa berita. Justeru, berpeluang mengerjakan ibadah umrah sambil bertugas membuat liputan delegasi Umrah Penggiat Seni boleh dianggap sebagai momen paling indah dalam hidup saya selepas 25 tahun menjadi wartawan bidang seni dan hiburan. Menyaksikan sendiri kegigihan anak-anak seni yang rata-ratanya sudah berusia dan ada yang selalu sakit-sakit seperti Aida, menjadikan umrah kali ini berhadapan dengan cabaran dan dugaan yang ‘mahal’ sekali harganya. Umrah Penggiat Seni dianjurkan Yayasan Perdana Ummah dan Yayasan Mustika Kasih dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri sendiri. Penganjuran ini bertitik tolak daripada keinginan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dalam membantu menyempurnakan mimpi sebahagian anak-anak seni yang kurang berkemampuan untuk ke Tanah Suci dan program ini pertama seumpamanya diadakan. Untuk yang pertama ini, 23 penggiat seni terpilih, termasuk Aida Agil yang kini berusia 59 tahun.
Ya, jika sebelum ini sudah banyak insan-insan berlainan bidang yang memberi sumbangan dan jasa kepada masyarakat diberi peluang, kali ini rezeki itu berpihak kepada anak-anak seni pula. Indahnya lagi, medium seni ini bukan sekadar pada kanvas popular, sebaliknya mencakupi juga seni sastera dan penulisan novel apabila pihak Penulis Nasional (PENA) turut dipilih menyertai rombongan.
Justeru, sebagai ahli media, kami benar-benar tersentuh melihat betapa tinggi keinginan insan-insan seni ini untuk turut serta melakukan ibadah di hadapan Rumah Allah. Aida Agil sendiri misalnya, sejak tahun 2000, beliau telah disahkan menghidap penyakit Bell’s Palsy yang menyebabkan sebahagian sistem sarafnya terganggu dan lemah. Ekoran masalah itu,dia yang pernah popular sezaman dengan penyanyi Shima dan Ning Baizura dengan lagu Segalanya Pasti ini disahkan sebagai Orang Kelainan Upaya (OKU) dan mendapat bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menampung kehidupan bulanan.
“Jika tidak dibantu sebegini, barangkali lama lagi untuk saya sampai ke Tanah Suci. Sebab itu, saya anggap rezeki ini sangat mahal harganya dan saya tetap teruskan pemergian ke sana walaupun dalam keadaan kurang sempurna seperti orang lain,” katanya, berkongsi rasa dengan penulis.
Penyanyi yang pernah bernaung di bawah syarikat rakaman antarabangsa EMI itu, kini tinggal dalam keadaan menyedihkan, lantaran hilang upaya untuk bergerak secara normal ekoran masalah sarafnya.
Bagaimanapun peluang yang diberikan oleh Yayasan Perdana Ummah untuk menyertai Umrah Penggiat Seni tidak mahu sama sekali dilepaskan walaupun dia terpaksa berjalan menggunakan tongkat dan berkerusi roda berkeliling melakukan ibadah sepanjang di Mekah dan Madinah.
Di hadapan penulis, sepanjang di Mekah dan Madinah beberapa kali Aida terjatuh di hadapan orang ramai, lantaran kurang daya tahan. Tetapi ketabahan dan kekuatan dirinya yang tidak kenal erti ‘kalah’ menimbulkan keinsafan besar kepada kami yang sihat tubuh badan ini. Yang paling mengesankan apabila beliau terjatuh selepas lama berdoa di Hijir Ismail, lokasi di mana tempat yang mustajab berdoa sekitar Baitullah.
“Biarpun terjatuh berkali-kali, saya tetap puas hati. Kawan-kawan banyak bantu angkat saya semula, termasuk jemaah negara lain yang turut bertawaf berhampiran saya.
“Alhamdulillah, saya juga tidak demam atau sakit-sakit lain dan barangkali kerana itu Allah SWT permudahkan impian untuk buat umrah sudah tercapai.
“Saya juga gagahkan diri untuk buat tawaf seperti orang sihat yang lain. Saya macam tak percaya apabila dapat buat tawaf keliling Kaabah dengan hanya berjaya kaki macam orang sihat yang lain. Itu adalah ‘rezeki’ dan saya akan kenang untuk seumur hidup saya,” katanya.
Seorang OKU seperti Aida Agil masih memberi ruang untuk kita sebagai manusia yang sihat dan normal mengenal diri. Yang lebih mengharukan, beliau turut berjaya melaksanakan umrah untuk dua ahli keluarganya yang sudah meninggal dunia iaitu bapanya Agil bin Ali dan adik, Mohd Khalid Agil. Aida turut berdoa agar dia beroleh kesembuhan dan kembali hidup normal.
Jadi isteri hanya setahun
KAMI rakan sebilik, menginap di Hotel Al-Haram di Madinah dan kemudian bersambung ukhuwah ke hotel As-Safwa, Mekah. Lebih sepuluh hari bersama-sama, banyak yang Aida kongsi dengan penulis dan antara yang membekas adalah cerita perkahwinannya.
Mengakui pernah menjadi seorang isteri kepada lelaki yang hadir dalam hidupnya, perkahwinan yang didirikan pada awal 1990-an itu hanya bertahan selama satu tahun.
Pun begitu, usah ditanya banyak kepada Aida tentang perkahwinan dalam hidupnya kerana ia bakal menambah rasa parah dalam jiwa yang sudah sedia rapuh.
“Bagi saya, sejujurnya seperti tidak ada sedetik pun keindahan apabila bercakap soal perkahwinan. Tidak ada hal yang membahagiakan saya apabila bercakap soal perkahwinan.
“Sebab itu, sehingga sekarang saya memilih untuk hidup sendiri dan hati saya tidak lagi terbuka untuk berkahwin selepas bercerai lebih 20 tahun lalu.
“Saya terima ini sebagai takdir Tuhan kepada diri ini, tetapi saya tetap bahagia dengan kehadiran ahli keluarga yang lain dalam hidup meskipun tanpa kehadiran seorang lelaki bernama suami,” beritahunya, berkongsi cerita pedih dalam hidup.
Perkahwinan itu berlaku pada ketika dia berusia sekitar 38 tahun dan lelaki yang mengahwini dirinya itu baru berusia sekitar 24 tahun. Selama setahun menikah dengan lelaki berasal dari Thailand itu, mereka suami isteri menetap di Johor Bahru.
Tidak segan mengakui bahawa perkahwinan itu menjadi pilihan hanya kerana dia tidak mahu digelar ‘anak dara tua’, Aida menganggap ia adalah kesilapan masa lalu yang tidak mahu diulang kembali.
“Kehidupan manusia berbeza-beza dan saya menerima apa juga takdir kehidupan saya dengan reda sekali. Dalam keadaan berjalan pun tidak mampu, barangkali tidak akan ada lagi lelaki yang inginkan saya sebagai isteri.
“Sebab itulah saya tidak lagi pernah bermimpi atau berharap untuk kembali menjadi isteri orang kerana saya sendiri tidak berkemampuan untuk menjalankan tanggungjawab tersebut,” katanya lagi.
Melalui episod kegemilangan dan kejayaan dalam hidup, diduga dengan penyakit dan menjadi separuh deria hilang seperti sekarang, kata Aida hanya Tuhan yang tahu bagaimana dia melalui semuanya ini.
“Tak apalah, ini semua kerja Allah SWT, saya sebagai hamba kena reda dan terima apa juga ujian. Tanpa suami sekalipun, setakat ini jiwa saya amat okey sebab dikelilingi oleh adik-beradik dan keluarga serta kawan-kawan yang sayangkan saya, insya-Allah kasih sayang mereka ikhlas dan menerima saya seadanya,” katanya lagi yang masih menetap di Johor Bahru bersama adik-beradik yang lain.










