Saya tidak kena minyak pengasih - Neelofa - Utusan Malaysia

Saya tidak kena minyak pengasih – Neelofa

Neelofa bersama ibunya, Noor Kartini Noor Mohammed dan Haris Ismail.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengacara, Neelofa menyangkal dakwaan dia terkena minyak pengasih, memindahkan sejumlah wang dengan pendakwah selebriti, Haris dan sudah bernikah di Kelantan.

Neelofa atau nama sebenarnya, Noor Neelofa Mohd. Noor berkata, kesemua tuduhan itu adalah tidak benar dan tidak berasas.

Beliau tampil membuat kenyataan itu setelah status pertunangannya dengan Haris menjadi perdebatan di laman sosial, dengan menjelaskan hubungan mereka kini dalam proses perbincangan untuk mencari titik penyelesaian.

“Kononnya terkena buatan minyak pengasih. Cerita itu adalah tidak benar sama sekali dan sejujurnya, ia merupakan satu tuduhan yang amat berat.

“Alhamdulillah, seperti yang anda lihat sekarang saya berada dalam keadaan baik dan kesihatan yang terbaik. Saya berharap agar semua pihak dapat mendoakan kesihatan saya,” katanya dalam satu kenyataan.

Berhubung status hubungan terkini dengan Haris, Neelofa berkata, apa yang mampu dia  katakan adalah setiap hubungan itu ada cerita-cerita tersendiri dan tidak manis untuk
mengeluarkan kenyataan membelakangi ahli keluarganya.

“Apa yang mampu saya katakan, keluarga saya, dan keluarga Haris, kini dalam proses perbincangan untuk mencari titik penyelesaian. Bagi saya, adalah lebih baik jika perkara ini diuruskan oleh keluarga kedua-dua belah pihak. Saya juga ingin mengambil kesempatan yang ada, ingin memohon maaf kepada pihak keluarga saya, keluarga Haris untuk segala perkara yang berlaku.

“Saya pasti, tiada siapa yang mahu berada dalam keadaan sebegini, lebih-lebih lagi kami masih belum pun ada apa sebarang ikatan. Kepada keluarga saya, terima kasih yang tidak terhingga ingin saya ucapkan,” katanya.

Neelofa memohon kerjasama semua pihak untuk sama-sama memahami dan dapat memberikannya ruang yang sewajarnya dan berharap perkara itu tidak lagi berpanjangan.

Spekulasi Neelofa dengan Haris atau nama sebenarnya, Haris Ismail yang dikatakan berantakan semakin panas apabila ada yang mendakwa mereka sudah bernikah.

Tular dalam media sosial apabila pasangan selebriti itu dikatakan sudah bernikah di Kelantan dan diwalikan bapa kandung Neelofa, Mohd. Noor.

Dakwaan tersebut bertambah hangat apabila Neelofa dikatakan turut ‘menghadiahkan’ Haris RM100,000 seminggu sehingga mengumpul jutaan ringgit.

Kontroversi itu mula mendapat perhatian apabila seorang warganet memuat naik gambar dengan dakwaan sendiri berhubung perkara itu.

Hubungan mereka yang dikatakan berantakan mula riuh berpunca daripada gambar yang dimuat naik oleh ahli keluarga Neelofa di Instagram yang didakwa seperti memberi ‘hint’ tentang keretakan hubungan mereka. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×