KUALA LUMPUR – Firma guaman Tetuan Scivetti & Associates akan mewakili UMNO bagi menuntut dana politik milik parti itu berjumlah RM116.7 juta yang telah disita oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Ketua Unit Undang-Undang UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pasukan peguam itu dilantik semalam dan akan diketuai Datuk Hariharan Tara Singh.
“Mereka sedang mempertimbangkan antara lain, prosedur dan kaedah serta cadangan tindakan undang-undang yang boleh diambil oleh UMNO terhadap pihak berkaitan dalam menuntut dana politik tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 18 Mei lalu, polis dilaporkan merampas sejumlah wang yang didakwa sebagai dana politik UMNO bagi tujuan kempen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan pengurusan parti.
Wang tersebut dirampas ketika proses pertukaran kepimpinan baharu dalam UMNO selepas diadakan pemilihan parti pada 30 Jun. – Bernama











