KUALA LUMPUR 11 Julai – Majlis Raja-Raja hari ini menzahirkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang telah membolehkan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) berlangsung dalam keadaan aman dan tenteram.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, tidak dinafikan bahawa suasana hangat yang berlaku semasa berkempen telah sedikit sebanyak membahagikan rakyat kepada dua pihak yang bertentangan.
“Demi masa hadapan negara, usaha ke arah mengembalikan perpaduan rakyat wajib dirintis dengan mengamalkan budaya demokrasi yang tinggi, mewujudkan semangat inklusif bahawa yang menang, tidak menang semua dan yang tewas tidak pula tewas semua,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-249 Hari Yang Pertama di Istana Negara, di sini hari ini.
Titah Sultan Nazrin, pemilihan pengundi dalam PRU-14 telah menghasilkan keputusan yang telah mengubah landskap politik dan meninta satu sejarah baharu di negara ini.
“Alhamdulillah, proses peralihan kuasa telah berlangsung secara teratur, tenteram dan aman. Suasana peralihan yang berlaku membuktikan bahawa warga Malaysia telah mempamerkan sifat kematangan berpolitik.
“Warga Malaysia telah membuktikan kepada dunia bahawa amalan demokrasi di negara ini bukan sahaja berakar subur malah tetap mencapai tahap kedewasaan,” titah baginda.
Mesyuarat Hari Kedua Majlis Raja-Raja Ke- 249 akan diadakan esok di Istana Negara.
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V akan berangkat ke mesyuarat tersebut dengan diiringi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. – UTUSAN ONLINE











