KUALA LUMPUR 11 Julai – Bank Rakyat menegaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan iklan program jualan hari gaji Bank Rakyat yang tular dalam media sosial sejak kebelakangan ini.
Menurut Bank Rakyat, melalui iklan tersebut, orang ramai ditawarkan tapak untuk berniaga selain memaparkan nama individu dan nombor akaun bank bagi tujuan pembayaran sewa.
“Sehubungan itu, orang ramai diminta agar tidak terpedaya dan tidak terus berkongsi maklumat tersebut.
“Bank Rakyat telah menjalankan siasatan dalaman dan penama akaun disahkan bukan warga kerja Bank Rakyat atau wakil yang dilantik oleh Bank Rakyat. Selain itu,penama akaun juga tidak didaftarkan sebagai rakan niaga Bank Rakyat dan anak syarikat,” kata Bank Rakyat dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bank Rakyat menjelaskan, pihaknya sudahpun membuat laporan kepada pihak berkaitan berhubung isu itu bagi menjaga kepentingan bank, pelanggan dan imejnya sebagai sebuah institusi kewangan Islam agar tidak terjejas akibat berita palsu terbabit.
“Orang ramai dinasihatkan untuk menghubungi saluran rasmi Bank Rakyat seperti Pusat Panggilan tele-Rakyat di talian 1-300-80-5454; laman sesawang korporat, www.bankrakyat.com.my; Facebook, Bank Rakyat, Bank Pilihan Anda di www.facebook.com/myBANKRAKYAT; Twitter di twitter.com/myBANKRAKYAT dan Instagram, instagram.com/myBANKRAKYAT sekiranya menerima sebarang hebahan yang mencurigakan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE











