KUALA TERENGGANU – Dua beranak warga Thailand dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki 13 utas jerat dawai dan dua ekor kura-kura spesies duri bukit tanpa kebenaran pada tiga minggu lalu.
Hakim Tuan Azman Mustapha menjatuhkan hukuman itu selepas Canthi Cantupa, 44, dan anak lelakinya Pipop Cantupa, 18, membuat pengakuan bersalah setelah kertas pertuduhan dibacakan kepada mereka oleh jurubahasa dalam bahasa Thailand.
Mengikut pertuduhan pertama, dua beranak itu didakwa menyimpan 13 utas jerat dawai di Hutan Simpan Jengai, Dungun kira-kira pukul 4.30 petang pada 21 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyimpan dua ekor kura-kura spesies duri bukit (heosemys spinosa) tanpa permit khas di lokasi dan masa yang sama.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 29(1)(a) dan Seksyen 68(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau hukuman penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Zaitul Hazlin Mat Jusoh manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela. – K! ONLINE











