KUCHING – Kerajaan negeri Sarawak kini sedang mengadakan rundingan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengiktiraf Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) sebagai pusat diagnosis wabak rabies atau penyakit anjing gila.
Menteri Muda Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Dr. Annuar Rapaele berkata, negeri ini memerlukan sebuah makmal kesihatan awam yang khusus bagi mengawal wabak berkenaan daripada terus merebak.
“Sarawak memerlukan makmal kesihatan awam khusus seperti ini yang berkemampuan untuk mengawal dan mendiagnosis wabak rabies.
“Unimas mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian namun belum lagi diiktiraf kerajaan hingga spesimen jangkitan anjing itu perlu dihantar ke Institut Kajian Veterinar (VRI) Ipoh,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
Wabak rabies di Sarawak mencetuskan kebimbangan pada Julai tahun lalu apabila mengorbankan 10 daripada 11 mangsa. – K! ONLINE











