PUTRAJAYA – Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia berjaya mengumpul kutipan sebanyak RM300,300 menerusi kempen #AirAsiaMakna pada tahun ini.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat, usaha tersebut sebagai menyokong inisiatif kesedaran kanser yang diperjuangkan Majlis Kanser Nasional Malaysia (Makna).
“Sumbangan ini dikumpul menerusi jualan amal baju baju-t edisi terhad dengan rekaan pakaian juruterbang dan kru kabin.
“Selain itu, kami mempunyai ramai kakitangan yeng menghidap kanser dan usaha ini sebagai tanda sokongan terhadap mereka untuk terus melawan penyakit ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada acara #AirAsiaMakna: The Big Fiesta di pusat beli-belah IOI Mall Putrajaya di sini hari ini.
Sementara itu, Pengurus Besar Makna, Farahida Mohd. Farid berkata, kempen tersebut bukan sahaja untuk mengumpul dana tetapi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai cara pencegahan kanser.
“Dengan adanya kempen seperti ini, ia membolehkan kami untuk bertemu lebih ramai orang supaya mereka lebih memahami dan mengambil tindakan dalam menjaga kesihatan masing-masing,” katanya.
Dalam pada itu, sempena kempen ini, AirAsia turut menawarkan promosi istimewa iaitu diskaun sebanyak 20 peratus untuk semua penerbangan bagi tempahan yang dibuat melalui aplikasi mudah alih AirAsia dengan menggunakan kod promosi MAKNA20 bermula hari ini hingga 10 Julai depan.
Promosi berkenaan tertakluk untuk tempoh perjalanan antara 1 Ogos hingga 22 November 2018. – K! ONLINE











