SAINT PETERSBURG – Pengurus pasukan perancis, Didier Deschamps mengakui sedikit lega selepas pasukannya mara ke peringkat separuh akhir piala dunia 2018 selepas berjaya menewaskan Uruguay 2-0 pada aksi suku akhir di Stadium Nizhny Novgorod malam kelmarin.
![]() |
|
DESCHAMPS lega skuad bimbingannya berjaya mara ke peringkat separuh akhir selepas menewaskan Uruguay 2-0 di Stadium Nizhny Novgorod kelmarin.
|
Deschamps juga berasa lega apabila pemain-pemain terbaiknya tidak mengutip lebih kad kuning sekali gus mengelak daripada sebarang penggantungan sia-sia memandangkan skuad Les Bleus sudah mara ke aksi separuh akhir.
Pada aksi tersebut, selepas Antoine Griezmann meledak gol kedua, Kylian Mbappe telah terlibat dalam insiden pergaduhan dengan pemain Uruguay, Christian Rodriguez sekali gus mencetuskan situasi tegang di padang.
Ketika itu, Paul Pogba dilihat turut mempertahankan rakan sepasukannya sebelum ditarik keluar oleh Deschamps untuk ditenangkan bagi mengelak dilayang kad kuning. Pengadil perlawanan hanya melayangkan kad kuning kepada Mbappe dan Rodriguez.
“Mengenai Pogba, saya segera ingatkan bahawa dia boleh menerima kad kuning ekoran situasi tegang dan panas tersebut sedangkan pemain Manchester United itu sudah ada satu kad kuning sebelum ini.
“Itu yang saya beritahu kepada semua pemain. Jika kami layak dan mereka memperoleh kad kuning meskipun bukan disebabkan kesalahan tetapi disebabkan tingkah laku, sikap atau perkataan provokasi, maka kad kuning itu tidak berbaloi diterima.
“Kamu boleh bercakap kepada pengadil tetapi kamu tidak boleh lakukan provokasi termasuk daripada pihak lawan. Saya sememangnya tidak mahu Pogba mendapat satu lagi kad kuning.
Pogba antara pemain Perancis yang sudah memiliki kad kuning dan berisiko berdepan penggantungan satu perlawanan sekiranya dilayangkan satu lagi kad kuning.
“Setakat ini, enam pemain saya sudah dilayangkan kad kuning, namun mereka semua boleh beraksi untuk perlawanan seterusnya dan ia sesuatu yang bagus buat Perancis,” ujar Deschamps. – Agensi












