KUALA LUMPUR 1 Ogos – Dua buah syarikat pembinaan masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membiakkan nyamuk aedes, tahun lalu.
Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman tersebut selepas wakil syarikat Sin Seong Hin Sdn. Bhd. dan Kimlun Sdn. Bhd. mengaku bersalah membiak serangga pembawa penyakit iaitu larva nyamuk Aedes Aegypti serta Aedes Albopictus.
Mengikut pertuduhan Sin Seong Hin Sdn. Bhd. selaku orang kena saman (OKS) didakwa membiak serangga pembawa penyakit jenis Aedes Aegypti di lopak-lopak air di tapak pembinaan di Lot 1982, Jalan 1/141, Petaling di sini antara pukul 10.10 pagi dan pukul 10.30 pagi, 18 April 2017.
Sementara itu, Kimlun Sdn. Bhd. pula didakwa membiak nyamuk Aedes Aegypti dan Aedes Albopictus di beberapa tempat termasuk lopak air dan baldi di Lot 50639, Jalan Yaacob Latif, Bandar Tun Razak di sini antara pukul 10.50 pagi dan pukul 11.17 pagi, 17 Mei tahun sama.
Kedua-dua syarikat itu didakwa mengikut Seksyen 13(1) dan dibaca bersama Seksyen 13(2) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 23(b) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, kedua-dua wakil syarikat yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan syarikat telah mengambil langkah-langkah pencegahan bagi menangani perkara tersebut.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa daripada Pejabat Kesihatan Cheras, Rofidah Abd. Molok memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada pemaju dan orang awam supaya lebih berhati-hati dan peka dengan kehadiran nyamuk aedes di tempat masing-masing.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua syarikat dikenakan waran levi sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut fakta kes, pegawai kesihatan telah pergi ke kedua-dua tapak pembinaan syarikat tersebut bagi membuat pemeriksaan dan telah menjumpai tempat pembiakan larva nyamuk.
Pegawai tersebut telah mengambil contoh larva nyamuk tersebut untuk dianalisis dan hasil analisis mendapati sampel berkenaan adalah larva nyamuk Aedes yang merupakan serangga pembawa penyakit. – UTUSAN ONLINE











