KULAI – Polis menahan seorang lelaki dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.35 juta dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Jaya, di sini kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd. berkata, lelaki berusia 30 tahun itu ditahan pukul 8.30 malam oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
“Dalam serbuan itu, kita telah merampas sejumlah jenis dadah disyaki pil ekstasi, erimin 5, syabu, ketamin, serbuk dan cecair disyaki dadah serta peralatan memproses bahan larangan itu.
“Selain dadah, kita turut merampas wang tunai RM5,150, dua buah kereta jenama Proton Waja dan Perodua Myvi, seutusan jam tangan, seutas rantai leher, sebentuk cincin dan dua buah telefon bimbit, kesemuanya bernilai RM54,350,” katanya di sini hari ini.
Mohd. Khalil berkata, suspek direman sehingga Isnin ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – K! ONLINE











