Kemalangan: 2 maut, 5 cedera - Utusan Malaysia

Kemalangan: 2 maut, 5 cedera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MACHANG 22 Jun – Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri dua keluarga bertukar duka selepas dua daripada mereka maut, manakala lima lagi cedera dalam kemalangan di Jalan Kota Bharu – Kuala Krai dekat Kweng Design Machang, di sini tengah malam tadi.

Nahas pada kira-kira pukul 12.40 tengah malam itu membabitkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Suzuki Vitara dinaiki empat beranak dan kereta Pe­rodua Axia dinaiki tiga beradik.

Mangsa yang maut ialah penumpang hadapan Suzuki Vitara, Mohd. Zaki Mustafa, 57, dan penumpang belakang Perodua Axia, Nik Aqillah Nik Mazlan, 28.

Mohd. Zaki yang bekerja sebagai pegawai khidmat pelanggan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Ne­geri Kelantan maut di lokasi nahas akibat kecederaan parah pada organ dalaman, manakala Nik Aqillah disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Machang pada pukul 4.50 pagi ini.

Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Dzulkifli Abdul Ghani berkata, siasatan awal mendapati keluarga Mohd. Zaki datang dari Tanah Merah dan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Bachok.

Menurutnya, apabila tiba di lokasi nahas, Suzuki Vitara ber­kenaan hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar Perodua Axia dinaiki keluarga Nik Aqillah yang datang dari arah bertentangan.

“Suzuki Vitara dipandu anak lelaki mangsa berusia 17 tahun. Pemuda terbabit dan dua lagi penumpang di kerusi belakang iaitu isteri mangsa berusia 46 tahun dan anak perempuan mereka berusia lima tahun mengalami kecederaan pada muka serta badan.

“Sementara itu, pemandu Pe­rodua Axia berusia 30 tahun yang merupakan kakak kepada Nik Aqillah serta adik lelakinya ber­usia 21 tahun yang duduk di kerusi depan juga ce­dera pada muka dan badan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dzulkifli memberitahu, ke­semua mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Machang dan masih menerima rawatan lanjut, manakala mayat mangsa turut menjalani proses bedah siasat di hospital sama.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pe­ngangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, jenazah Mohd. Zaki telah dibawa pulang ke Bachok oleh keluarganya untuk dikebumikan di sana manakala jenazah Nik Aqillah dibawa pulang ke Kota Bharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN