Messi sandaran utama Argentina - Utusan Malaysia

Messi sandaran utama Argentina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NIZHNIY NOVGOROD, Rusia 20 Jun – Argentina kini bergantung harap sepenuhnya kepada ketua pasukan, Lionel Messi untuk mencorakkan kebangkitan pada aksi ke­dua Kumpulan D Piala Dunia Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2018 yang genting menentang Croatia awal pagi Jumaat ini.

Atas kertas, keputusan seri 1-1 menentang Iceland sebelum ini jelas memberi tamparan hebat bukan sahaja kepada Argentina malah juga kepada Messi yang gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika aksi pertama kumpulan itu.

Ini sekali gus menimbulkan keraguan tentang kemam­puan sebenar Argentina untuk pergi lebih jauh pada edisi kali ini atau pun sekurang-kurangnya mampu mara ke final seperti empat tahun lalu di Brazil.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami akan berdiri teguh di belakang dia (Messi). Dia tahu dia boleh bergantung kepada sokongan kami semua lebih daripada biasa. Kami akan sentiasa membantunya setiap masa dan sudah tentu kami berada di pihak yang menyokongnya,” kata pemain tengah, Paulo Dybala.

Sokongan sama turut disua­rakan seorang lagi pemain Argentina, Cristian Ansaldi yang mengakui Messi masih berada di tahap semangat yang tinggi walaupun selepas apa yang berlaku ketika menentang Iceland.

“Kami sedar apa kepentingan Messi kepada pasukan kami dan negara Argentina. Bukan sahaja dia merupakan pemain terbaik dunia di dalam padang tetapi juga pengaruhnya di luar padang. Dia berada pada prestasi terbaik ketika ini dan itu sudah cukup merupakan berita baik buat kami semua sebagai pemain,” kata pemain pertahanan itu.

Pengendali Argentina, Jorge Sampaoli dilaporkan sedang mempertimbangkan beberapa perubahan pemain untuk perlawanan menentang Croatia itu termasuk mempunyai pe­rancangan menurunkan penye­rang muda, Cristian Pavon bagi menggantikan Angel Di Maria untuk mencipta lebih kreativiti di bahagian serangan. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini