Dijel 36 bulan, denda - Utusan Malaysia

Dijel 36 bulan, denda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU 20 Jun – Bekas Pengarah Perhuta­nan Terengganu, Datuk Azmi Nordin dihukum penjara 36 bulan dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Se­syen di sini hari ini setelah didapati bersalah atas tiga pertuduhan menerima rasuah RM60,000, lima tahun lalu.

AZMI NORDIN dijatuhi hukuman penjara 36 bulan dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen, Kuala Terengganu, semalam. UTUSAN/Farid Janudin

Hakim Mohammad Haldar Abdul Aziz turut memerintahkan tertuduh yang berusia 59 tahun itu dihukum penjara lagi 18 bulan jika gagal menjelaskan denda tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Mengikut pertuduhan perta­ma, Azmi didakwa menerima suapan RM30,000 daripada seorang kontraktor balak, Yew Keong Fah, 49, di Malayan Ban­king Berhad cawangan Kuala Terengganu pada 3 Mac 2013.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima suapan RM20,000 daripada individu sama di Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) cawa­ngan Kuala Terengganu pada 16 Jun 2013, manakala pertuduhan ketiga, dia didakwa menerima suapan RM10,000 daripada Keong Fah di tempat sama pada 13 Ogos 2013.

Azmi didakwa menerima wang suapan itu untuk memberi kelulusan membalak kepada syarikat Ciri Bina Machinery & Hardware Sdn. Bhd. di Kompartmen 36b dan 40a, Hutan Simpan Hulu Terengganu.

Ketiga-tiga pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh mengikut Seksyen 165 Kanun Ke­seksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Bagi setiap pertuduhan, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 bulan dan denda RM10,000 atau penjara enam bulan jika gagal menjelaskan denda ber­kenaan.

Hukuman diperintah berjalan serentak.

Mahkamah bagaimanapun mem­benarkan permohonan ter­-
tuduh yang diwakili peguam, Mohd. Hayyatuddin Muhamad untuk menangguhkan pelaksana­an hukuman sementara me­nunggu rayuan selesai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini