KUALA LUMPUR 20 Jun – Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed selesai menyerahkan tugas sebagai Panglima Angkatan Tentera kepada Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin dalam sebuah majlis yang diadakan di Auditorium Wisma Pertahanan, di sini hari ini.
Upacara serah dan terima tugas tersebut turut disaksikan Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu yang kemudiannya menerima kunjungan hormat kali terakhir daripada Raja Mohamed Affandi.
Terdahulu, pada sebelah pagi, acara Perbarisan Penghargaan Panglima Angkatan Tentera telah diadakan di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi di sini yang melibatkan kontinjen daripada ketiga-tiga perkhidmatan, iaitu Darat, Udara dan Laut.
Majlis ditamatkan dengan acara tradisi ‘send off’ dengan ‘street lining’ sebagai tanda penghargaan warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada khidmat dan jasa bakti Raja Mohamed Affandi sepanjang bergelar Panglima Angkatan Tentera. – UTUSAN ONLINE











