SHAH ALAM – Fonterra Brands (Malaysia) Sdn. Bhd. (Fonterra) optimis terhadap potensi meluas yang ditawarkan pasaran halal di Malaysia, yang dilihat masih mempunyai ruang untuk berkembang pada masa akan datang.
Fonterra merupakan pengeluar bagi pelbagai produk tenusu jenama popular antaranya, Anlene, Anmum, Fernleaf, Anchor, Chesdale dan CalciYum yang berpangkalan di New Zealand.
Pengurus Perhubungan Koperasinya, Manisya Ismail berkata, menerusi dua kilang berstatus halalnya dekat sini, Susumas dan Dairymas, Fonterra komited untuk menyumbang kepada eksport bagi produk tenusu halal di rantau ini.
“Ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kami untuk membantu Malaysia dalam menjadi hab halal global pada tahun 2020.
“Sasaran ini bakal dipacu oleh potensi industri halal global yang dijangka berkembang kepada hampir AS$8 trilion (RM31.9 trilion) menjelang 2030, yang didorong oleh pertambahan populasi penduduk beragama Islam dan peningkatan kuasa membeli.
“Selain itu, kami juga dapat melihat adanya peningkatan dari segi kesedaran pengguna terhadap manfaat produk makanan halal dalam kalangan bukan sahaja yang beragama Islam, malahan bukan Islam,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Kosmo! dalam satu temu bual di pejabatnya di Kawasan Perindustrian Subang Hi-Tech di sini baru-baru ini.
Menurut Manisya, sebagai memenuhi komitmen syarikat untuk menawarkan produk tenusu berstatus halal, setiap tahun Fonterra membuat pelaburan berterusan termasuk dalam penyelidikan dan pembangunan bagi memastikan produk yang dihasilkan adalah memenuhi standard halal yang ketat.
“Bagi setiap inovasi produk yang dilakukan, ia akan melalui pelbagai prosedur pematuhan kualiti dan standard halal yang ketat untuk memastikan ia bukan sahaja berstatus halal, malahan turut berkhasiat dan bersih.
“Pematuhan langkah ini bermula daripada proses penternakan lembu-lembu kami di ladang di New Zealand, penghasilan dan pemprosesan produk di kilang, sehinggalah kepada pengguna akhir,” jelasnya.
Malaysia merupakan hab antarabangsa bagi produk Fonterra, yang mana kira-kira 30,000 tan metrik produk dihasilkan setahun, dengan separuh daripadanya dieksport ke 13 buah negara.











