JAGUH lompat kijang negara, Muhammad Hakimi Ismail terpaksa mengorbankan perayaan Hari Raya Aidilfitri bersama ahli keluarga demi memastikan dirinya bersedia sepenuhnya menghadapi Sukan Asia 2018 di Jakarta dan Palembang, Indonesia pada Ogos depan.
Pemegang rekod kebangsaan dan Sukan SEA dengan catatan 16.77m itu akan terbang ke Perancis esok untuk menyertai beberapa siri pertandingan sebelum dijadualkan pulang ke tanah air pada 23 Jun ini.
Ini merupakan kali kedua dalam tempoh tiga tahun Hakimi yang merupakan pembawa Jalur Gemilang kontinjen negara pada Sukan Komanwel 2018, Gold Coast, Australia terlepas meraikan perayaan Hari Raya Aidilfitri, Jumaat ini.
“Dua tahun lalu saya tidak beraya tetapi tahun lepas saya pulang (ke Malaysia) pada hari raya pertama, jadi sempatlah beraya. Kedua-dua waktu itu saya berada di Kazakhstan menyertai pertandingan dan berlatih di sana,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Hakimi terpaksa beraya di perantauan seorang diri tanpa isterinya, Sharifah Mastiara Syed Mahdi dan anak, Muhammad Ayden Matiin demi memastikan dirinya berada pada tahap terbaik untuk menghadiahkan pingat buat kontinjen negara dalam Sukan Asia 2018.
“Sepatutnya ini tahun pertama saya beraya dengan anak yang kini berusia 11 bulan. Kasihan kepada isteri serta anak terpaksa beraya tanpa suami dan ayah.
“Kalau boleh memang nak kekal di Malaysia tetapi kebanyakan kejohanan sukan olahraga di Eropah berlangsung sekitar Mei hingga September. Jadi, saya terpaksa menjadi perantau untuk persiapan Sukan Asia nanti,” jelas Hakimi.
Dalam perkembangan sama, pemenang dua pingat emas Sukan SEA itu berharap pengorbanannya berkelana seorang diri ke Eropah berbaloi apabila bakal bertanding atas tiket kategori A di Jakarta nanti.
“Saya mahu mendapatkan semula suasana pertandingan dan perbaiki teknik-teknik agar dapat melakukan lompatan sejauh yang mungkin. Selain itu, saya perlu pastikan tidak mengalami kecederaan sebelum Sukan Asia bermula,” katanya.











