JERLUN – Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yakin tidak akan berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri ini meskipun isu pelantikan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah masih belum selesai lagi.
Kenyataan Mukhriz itu adalah bersandarkan alasan bahawa pihak Pakatan Harapan (PH) sedang mengadakan perbincangan secara tidak rasmi dengan Pas dan Barisan Nasional dalam usaha untuk menyelesaikan masalah pelantikan Speaker sebelum Persidangan DUN negeri bermula pada 4 Julai ini.
“Saya tidak nampak ada keperluan terdesak untuk mengadakan PRN sebab proses (perbincangan) selesaikan masalah (pelantikan) Speaker dengan pembangkang masih berjalan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Baucar Daging Raya 2018 di Taman Arowana, Ayer Hitam di sini semalam.
Kosmo! Ahad 10 Jun lalu melaporkan, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas yakin menawan Kedah jika PRN benar-benar diadakan.











