LONDON – Putera Harry dan isterinya, Meghan akan melawat Australia, Fiji, Tonga dan New Zealand pada tahun ini dalam lawatan pertama mereka ke luar negara sebagai suami isteri, kata Istana Kensington semalam.
Pasangan bergelar Duke dan Duchess of Sussex itu berkahwin di Istana Windsor bulan lalu dan merancang perjalanan mereka serentak dengan temasya Sukan Invictus di Sydney yang akan berlangsung pada Oktober depan.
Harry yang merupakan anak lelaki kedua pewaris takhta diraja Britain, Putera Charles, menganjurkan sukan global itu untuk askar-askar yang cedera selepas beliau berada dalam perkhidmatan tentera selama satu dekad.
Semua empat negara dalam siri lawatan itu adalah anggota Komanwel, kumpulan 53 negara bekas jajahan British yang mana Harry merupakan duta belia.
“Duke dan Duchess of Sussex akan mengadakan lawatan rasmi ke Australia, Fiji, Tonga dan New Zealand pada musim luruh ini,” kata kenyataan istana tersebut.
“Pasangan diraja ini diundang untuk melawat Australia dan New Zealand oleh kerajaan negara masing-masing. Mereka akan melawat negara Komanwel iaitu Fiji dan Tonga atas permintaan Pejabat Luar dan Komanwel.
“Lawatan itu bersamaan dengan Sukan Invictus Sydney 2018,” tambah kenyataan sama.
Australia dan New Zealand mengalu-alukan lawatan mereka, jelas kenyataan itu lagi
“Kehadiran Duke dan Duchess of Sussex akan menjadi tarikan utama buat lebih 500 peserta dan ribuan penonton pada sukan ini,” kata Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull dalam satu kenyataan balas. – AFP











