KUALA LUMPUR 11 Jun – Seramai 60 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar Universiti Kuala Lumpur British Malaysian Institute (UniKL BMI) mengedarkan sebanyak 97 kotak berisi barang-barang keperluan asas dapur kepada golongan asnaf yang tinggal di sekitar Kampung Gombak Utara, Gombak dalam program Tautan Kasih Syawal.
Menurut Presiden Jawatankuasa Perwakilan Pelajar UniKL BMI, Nurul Hazirah Indra berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan 17 kelab aktiviti bagi menjayakan program tersebut.
“Objektif utama adalah untuk membantu golongan asnaf sempena bulan Ramadan dengan pemberian barang-barang keperluan asas dapur seperti beras, minyak masak, gula, garam, kicap, susu serta tepung gandum.
“Program seperti ini merupakan platform kepada mahasiswa untuk menyumbang bakti kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan akhbar.
Sementara itu Timbalan Presidennya, Mohd. Nizam Nasir berkata, pihaknya gembira dengan sambutan yang menggalakkan daripada kelab aktiviti di UniKL BMI yang begitu bersemangat menyelami kehidupan golongan asnaf.
Katanya, program tersebut bukan sahaja menjadi platform untuk membantu insan yang memerlukan, namun turut memberi peluang kepada pelajar UniKL BMI merapatkan ukhuwah antara satu sama lain.
Turut hadir Timbalan Dekan Pembangunan Pelajar dan Gaya Hidup Kampusnya, Azrul Hisyam Abdul Rahman.











