JOHOR BAHRU – Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berpendapat, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi adalah calon yang paling layak mengisi jawatan presiden parti itu.
Beliau berkata, kesediaan dan keterbukaan Ahmad Zahid, yang menjalankan tugas-tugas Presiden, semasa kemerosotan UMNO jelas menunjukkan beliau pemimpin berjiwa besar dan sanggup memikul tanggungjawab berat itu.
“Anggota UMNO sepatutnya melihat kepada kesedaran pemimpin yang sanggup memikul tanggungjawab yang amat berat ini, wajib mereka memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepadanya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Abdul Latiff berpendapat, UMNO memerlukan pemimpin yang boleh memulihkan semangat juang parti dan melakukan rombakan revolusi secara besar-besaran untuk memastikan parti itu sentiasa bersama rakyat.
“Ciri-ciri utama yang perlu ada dalam diri seorang Presiden UMNO ialah berjiwa besar, taat setia, bijaksana, berhemah, dekat di hati ahli parti dan disenangi rakyat jelata. Inilah yang ada dalam diri Ahmad Zahid,” katanya. – Bernama











