Perak diminta salur peruntukan tetap kepada NGO - Utusan Malaysia

Perak diminta salur peruntukan tetap kepada NGO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH – Kerajaan negeri Perak pimpinan Pakatan Harapan (PH) diminta menyalurkan peruntukan tetap kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelbagai kaum bagi membolehkan mereka melaksanakan program dan aktiviti dengan lebih selesa dan efisien.

Pengerusi Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Perak (Jamaiy), Dr. Khairuddin Abdul Malik berkata, kebanyakan NGO tidak dapat bergiat secara aktif disebabkan kekangan kewangan.

“Susah bagi NGO hendak bergiat dengan lebih aktif dan dalam masa sama perlu cari peruntukan bagi menampung perbelanjaan untuk program atau aktiviti yang telah dirancang.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita serahkan kepada kerajaan negeri banyak mana (peruntukan) yang hendak diberikan kepada NGO… tidak kira atas nama apa pun sama ada NGO Islam, Cina atau India, kita perlu mengetepikan agenda perkauman dan kepentingan kelompok dalam usaha untuk memperkasakan rakyat,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas Program Diskusi dan Dialog NGO Islam bersama exco kerajaan negeri yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Seri Nizar Jamaluddin serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Penerangan, Dr. Abdul Aziz Bari di Akademi Pertubuhan Islam Perak di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Khairuddin turut meminta kerajaan negeri mengadakan Kongres Islam Ketiga bagi membincangkan pelbagai aspek termasuk masalah yang dihadapi oleh umat Islam termasuk kaum lain di negeri ini.

“Kongres itu tidak hanya membincangkan aspek umat Islam semata-mata tetapi skop yang lebih luas seperti bagaimana Islam itu boleh dikembangkan dan diberikan rahmat kepada semua orang menerusi agenda Islam, antaranya kebajikan, ekonomi dan keadilan,” katanya.

Beliau berkata, NGO dan kerajaan negeri harus sentiasa bekerjasama dalam usaha untuk memajukan rakyat dan negeri tanpa mengira kepentingan parti politik.

“Kita mahu suara NGO dapat didengar dengan lebih jelas dan menjadi ‘rakan kerja’ kepada kerajaan kerana kita mahu membantu kerajaan dalam usaha menjayakan perjuangan memartabatkan rakyat,” katanya. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini