Ringgit rendah berbanding dolar AS dalam dagangan awal - Utusan Malaysia

Ringgit rendah berbanding dolar AS dalam dagangan awal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dalam dagangan awal hari ini dalam permulaan minggu yang dijangka yang paling sibuk bagi pasaran, susulan mesyuarat bank pusat global selain sidang kemuncak bersejarah antara Presiden Donald Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.

Pada pukul 9.07 pagi, ringgit disebut pada 3.9810/9850 daripada 3.9870/9900 semasa ditutup pada Jumaat.

Ketua Dagangan Asia Pasifik di OANDA, Stephen Innes berkata, walaupun pasaran menumpukan kepada aliran masuk ekuiti, ia banyak bergantung kepada hasil daripada sidang kemuncak Trump-Jong Un di Singapura.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Bagaimanapun, perkara utama adalah mesyuarat Rizab Persekutuan AS (Fed) dan Bank Pusat Eropah (ECB),” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, hasil mesyuarat Fed yang memihak kepada kadar faedah tinggi akan memberi kesan kepada pasaran sedang pesat membangun dan risiko di peringkat tempatan, berikutan dolar akan meningkat dan walaupun pendirian ECB kurang memberi kesan, ia dapat mempengaruhi pasaran.

Sementara itu, tarikh akhir White House untuk memuktamadkan tarif ke atas barangan dari China adalah pada 15 Jun dan Fed dijangka mengumumkan kenaikan kadar faedah pada Rabu.

Langkah ini akan memberi impak yang ketara kepada mata wang sedang pesat membangun, termasuk ringgit.

Unit tempatan hari ini diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 2.9845/9877 daripada 2.9836/9881 pada Jumaat dan merosot berbanding euro kepada 4.6968/7019 daripada 4.6903/6946.

Ringgit, bagaimanapun, mengukuh berbanding yen kepada 3.6353/6399 daripada 3.6468/6505 dan naik berbanding pound British kepada 5.341383483 daripada 5.3482/3534. – Bernama
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini