MOSCOW 11 Jun – Skuad Perancis yang memiliki corak permainan menyerang tiba di Rusia, hari ini, dengan membawa harapan besar dapat memenangi Piala Dunia buat kali kedua, 20 tahun selepas kejayaan sulung Les Bleus.
Jentera serangan Perancis yang diketuai oleh Antoine Griezmann dan bintang remaja, Kylian Mbappe, terbang ke Moscow sebelum menuju ke pangkalan latihan mereka di dalam hutan iaitu di Istra, di luar ibu negara Rusia.
Perancis yang sekadar diikat dengan keputusan seri 1-1 menentang skuad remaja Amerika Syarikat dalam perlawanan pemanas badan terakhir di Lyon, semalam, terpaksa menunggu sehingga minit ke-78 untuk gol yang disempurnakan oleh Mbappe.
Skuad bimbingan Didier Deschamps itu akan bertemu Australia dalam aksi pembukaan Kumpulan C pada Sabtu di Kazan sebelum berdepan Peru dan Denmark.
Perancis memenangi Piala Dunia di tanah air sendiri pada 1998, setelah pasukan yang diketuai oleh Zinedine Zidane menewaskan Brazil 3-0 dalam perlawanan akhir. – AFP











