TOKYO – Seorang penyerang ditangkap di tengah Jepun selepas dia menikam seorang lelaki sehingga mati dan mencederakan dua yang lain dalam kejadian amuk di dalam sebuah kereta api laju malam kelmarin.
Suspek dikenali sebagai Ichiro Kojima dan menyerang mangsa sekitar pukul 10 malam (waktu tempatan) di dalam sebuah tren shinkansen yang sedang dalam perjalanan dari Tokyo ke sebuah stesen di Osaka, kata polis serta laporan akhbar.
Anggota-anggota polis menyerbu ke dalam gerabak dan menangkap suspek selepas kereta api yang membawa kira-kira 880 penumpang itu membuat hentian kecemasan di stesen Odawara.
Seorang jurucakap polis berkata, suspek yang berusia 22 tahun dan menganggur itu ditangkap kerana cubaan membunuh.
“Seorang penumpang lelaki dihantar ke hospital dan dia kemudian disahkan meninggal dunia,” kata jurucakap itu.
Laporan berita menyatakan, dua wanita dipercayai berusia dalam lingkungan 20-an cedera tetapi kecederaan mereka tidak mengancam nyawa.
Suspek memberitahu pihak berkuasa bahawa dia berasa ‘kecewa dan mahu membunuh seseorang’, demikian menurut badan penyiaran awam, NHK sambil menambah, penyerang menggunakan sekurang-kurangnya dua bilah pisau.
Beberapa saksi berkata, penumpang melarikan diri dalam keadaan panik dan sesetengah mereka menangis.
“Semua orang lari dan jatuh seperti kepingan domino. Saya takut separuh mati,” kata seorang penumpang wanita kepada NHK.
Jepun mempunyai kadar jenayah ganas antara paling rendah dalam kalangan negara maju, manakala serangan terhadap orang ramai amat jarang berlaku.
Pada 2015, seorang lelaki membakar dirinya di dalam sebuah kereta api shinkanzen yang sedang bergerak, menyebabkan dia dan seorang wanita maut. – AFP











