Ayam dimasak dalam buluh sebelum dibakar - Utusan Malaysia

Ayam dimasak dalam buluh sebelum dibakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Jarum jam yang digayakan pada pergelangan lengan kiri Mohamad Syukri Akmar Rudin, 22, tepat menunjukkan pukul 5 petang.

Lazimnya, anak kedua daripada empat beradik itu akan singgah ke bazar Ramadan berhampiran tempat kerjanya di sekitar Subang, Selangor untuk mendapatkan juadah berbuka puasa.

Namun pada hari itu, Mohamad Syukri atau mesra disapa Syuk tergerak hatinya untuk pergi ke bazar Ramadan di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Memuatkan artikel berkaitan…

Semuanya gara-gara ajakan rakan sekerjanya yang memberitahu destinasi tersebut memiliki seleksi sajian gastronomi menyelerakan untuk berbuka puasa.

Sedang berjalan di tengah-tengah lautan manusia, pandangannya terhenti di sebuah gerai yang menyandarkan deretan buluh berwarna hijau di atas bara api.

“Masa mula-mula tengok saya ingatkan lemang tetapi rupa-rupanya benda lain. Penjual itu kata nama hidangan ini ialah ayam pansuh.

“Saya pun pergi mendekati gerai itu dan mendapatkan penerangan lanjut mengenai juadah berkenaan sebelum membelinya untuk berbuka puasa nanti.

“Ini pertama kali saya jumpa menu hidangan unik seperti ini dan begitu teruja untuk merasainya,” katanya sambil membawa pulang buluh mengandungi ayam pansuh yang digantung dengan tali itu.

Setelah cuba merasai ayam pansuh ketika iftar pada petang itu, Syuk mengakui rasa asli yang dimiliki isi di dalam buluh itu cukup mengujakan dan tidak terdapat dalam mana-mana menu lain.

Sebagai penggemar sajian gastronomi asli warisan negara, Syuk menganggap pertemuannya dengan menu eksotik itu sebagai pengalaman penuh bermakna pada bulan Ramadan ini.

Ayam pansuh atau manuk pansuh merupakan juadah tradisional popular bagi masyarakat Dayak di Sarawak.

Sama seperti lemang, juadah istimewa itu dimasak dalam buluh sebelum dibakar dengan kayu api.

Juadah berkenaan kebiasaannya dihidang kepada tetamu untuk makan tengah hari setiap kali tiba musim perayaan di Sarawak.

Populariti

Melihat populariti juadah warisan di Bumi Kenyalang itu, dua sahabat berketurunan Melayu dari Semenanjung komited untuk memperkenalkan juadah tersebut kepada masyarakat tempatan di ibu kota Kuala Lumpur.

Menariknya, Mohd. Amir Kamaruzzaman, 33, dan Ammar Ismahadi, 33, membawakan juadah tersebut hanya dalam bulan Ramadan.

Mohd. Amir yang bertindak selaku pengasas Ayam Pansuh Kuala Lumpur (KL) berkata, idea asal perusahaan itu bermula selepas beliau diberhentikan kerja daripada sebuah syarikat minyak dan gas swasta pada tahun 2015 akibat kejatuhan harga minyak dunia.

Anak kedua daripada enam beradik itu kemudian bercuti ke Sarawak dan bertemu dengan sahabat lamanya.

Ketika itu, rakannya bernama Steve Paul David berketurunan Kelabit yang berasal dari Bario, Miri menyajikan hidangan ayam pansuh yang dihasilkan sendiri.

“Saat menikmati juadah itu, saya terpegun kerana ia sungguh enak lantas terus muncul idea untuk mengusahakan perniagaan ayam pansuh di Semenanjung Malaysia.

“Bermodalkan wang pampasan selama tujuh bulan gaji daripada pemberhentian kerja itu, saya terus meminta resipi asli dan tunjuk ajar daripadanya (Steve).

“Bagaimanapun, saya olah resipi asal itu dengan melakukan sedikit pembaharuan dari segi penyediaan hidangan bagi memberikan rasa yang lebih mudah dinikmati oleh lidah masyarakat di Kuala Lumpur,” katanya yang juga membesar di Sarawak sehingga berumur 12 tahun.

Begitupun, ramuan utama ayam pansuh asli seperti daun pucuk ubi, lada hitam, serai dan bunga kantan masih dikekalkan.

Diperap

Setiap hari, ayam akan diperap hampir dua jam bagi memastikan bahan ramuan itu telah diserap dengan sempurna.

Gabungan ramuan tersebut yang dimasak di dalam buluh selama hampir sejam akan melahirkan aroma yang wangi.

Jika kebanyakan ayam pansuh dihidangkan bersama nasi putih sahaja, menu milik Mohd. Amir itu disempurnakan dengan sambal istimewa.

Kongsi Mohd. Amir, idea padanan sambal bersama ayam pansuh itu lahir setelah mengamati trend gastronomi masyarakat tempatan.

Setiap hari, sebanyak 30 ekor ayam akan dipotong kecil berbentuk dadu sebelum diisi ke dalam buluh seberat kira-kira 600 gram.

Secara keseluruhan, sebanyak 120 batang buluh akan digunakan setiap hari dan diagih ke dua lokasi bazar Ramadan di Wangsa Maju.

Adat berniaga pasti ada aralnya, begitu juga dengan Ayam Pansuh KL.

Mohd. Amir masih teringat saat pertama kali dia menjalankan perniagaan ayan pansuh itu kira-kira tiga tahun lalu.

“Hari pertama kami mampu jual 20 batang sahaja.

“Pelanggan merungut kerana ayam mengambil masa lama sehingga sejam untuk masak dan lebih malang lagi ada pelanggan yang bawa pulang daging separuh masak.

“Mengambil iktibar daripada maklum balas pelanggan itu, kami bakar ayam pansuh itu separuh masak di rumah sebelum dibawa ke bazar,” katanya.

Begitupun, kongsi Mohd. Amir, ayam yang dimasak menggunakan bara api sehingga lebih lapan jam sebenarnya mengeluarkan rasa yang lebih enak, wangi dan lembut.

Sebatang ayam pansuh dijual pada harga RM14. Rata-rata pengunjung yang singgah ke gerainya merupakan individu yang memiliki sifat ingin tahu berkenaan hidangan eksotik tersebut.

Selain itu, masyarakat Sarawak yang bermastautin di Kuala Lumpur turut singgah ke gerainya.

Kata Mohd. Amir, ia mungkin kerana ayam pansuh miliknya berupaya menjadi medium pengubat kerinduan terhadap kampung halaman.

Sementara itu, rakan kongsinya, Ammar yang juga Pengurus Ayam Pansuh KL cawangan Wangsa Maju berkata, cabaran utama yang perlu dilalui setiap hari ialah melakukan penerangan mengenai ayam pansuh kepada pelanggan.

“Masyarakat tempatan tidak begitu mengenali ayam pansuh maka kita perlu memberikan penerangan terperinci kepada mereka termasuk asal usul, resipi serta cara penyediaan juadah ini.

“Namun, itulah kesempatan yang kita miliki untuk menjelaskan serta memperkenalkan kepada masyarakat tempatan mengenai hidangan warisan negeri Sarawak ini.

“Ia sekali gus menjadi medium terbaik bagi kita mempromosi dan mempopularkan menu ini ke Semenanjung Malaysia dengan lebih berkesan,” jelasnya yang memberitahu Ayam Pansuh Kuala Lumpur hanya diperkenalkan pada bulan Ramadan.

Kata Ammar, ia bagi memberikan nilai eksklusif terhadap juadah warisan masyarakat Sarawak di Semenanjung.

Ayam pansuh makanan eksotik masyarakat Sarawak ini merupakan ayam berbentuk dadu yang dimasak bersama sayur pucuk ubi 
di dalam buluh mengeluarkan aroma serta rasa yang menyelerakan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini