KUALA LUMPUR 10 Jun – Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) mengumumkan bahawa Nissan Serena S-Hybrid serba baharu telah merekodkan tempahan sebanyak 2,500 buah kenderaan setakat 8 Jun lalu.
Pengarah Jualan dan Pemasaran ETCM, Christopher Tan berkata, daripada jumlah itu sebanyak 757 buah kenderaan telah didaftarkan dalam tempoh empat minggu selepas pelancaran rasminya.
Menurut beliau, tempahan Nissan Serena S-Hybrid serba baharu itu membuktikan penerimaan hebat bagi model baharu daripada ETCM dan mengucapkan terima kasih kepada pelanggan atas sokongan mereka.
“Kami akan terus menawarkan produk-produk berkualiti dan pada masa sama akan meningkatkan pengeluaran bagi memastikan kenderaan ini dapat diserahkan kepada pelanggan tepat pada masanya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Tan, Nissan Serena S-Hybrid serba baharu hadir dengan rangkaian teknologi dan ciri pintar yang memberikan banyak kemudahan antaranya Nissan Intelligent Mobility (NIM), Pandangan Paparan Sekeliling Pintar (I-AVM) dan Pengesan Objek Bergerak Pintar (I-MOD).
Katanya, pintu gelongsor kembar berkuasa dengan pengesan kaki boleh dioperasikan dengan satu pergerakan kaki di bahagian bawah pintu untuk membuka atau menutupnya.
“Terdapat tujuh port USB disediakan untuk keperluan mengecas peranti elektronik penumpang. Pintu belakang dwi bukaan boleh dibuka dengan mudah walaupun di ruang meletak kenderaan yang sempit.
“Model ini mempunyai enam beg udara SRS dan ciri keselamatan yang lain hadir sebagai ciri standard pada Nissan Serena S-Hybrid serba baharu,” ujar beliau.










