Penggunaan SAPS digantung - Utusan Malaysia

Penggunaan SAPS digantung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 10 Jun – Kementerian Pendidikan memaklumkan bahawa Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS) digantung buat sementara waktu atas isu kese­lamatan berikutan terdapat dakwaan berlaku serangan terhadap sistem tersebut.

MASZLEE MALIK

Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik berkata, buat masa ini pihaknya sedang menyiasat dakwaan itu selepas menerima laporan yang dihantar kepada kementeriannya semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sebagai langkah berjaga-jaga saya telah mengarahkan pihak kementerian untuk menutup sistem tersebut buat sementara waktu.

“Pada masa sama, kementerian juga sedang menjalankan analisis keselamatan yang mendalam bagi mengesan kelemahan terhadap sistem tersebut dan satu tindakan segera akan diambil sejurus masalah tersebut diatasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut laporan media sebelum ini, e-mel tanpa nama tersebar luas mendakwa bahawa SAPS yang diperkenalkan pada Julai 2011 bagi memusatkan keputusan peperiksaan dari semua negeri terdedah kepada serangan dipanggil suntikan SQL.

E-mel itu juga mendakwa butir-butir peribadi seramai 4.9 juta pelajar bersama nombor MyKad ibu bapa mereka terdedah kepada salah guna.

Matlamat SAPS adalah untuk menilai prestasi akademik pelajar dan membolehkan pentadbiran yang lebih baik.

Guru-guru dikehendaki memasukkan keputusan peperiksaan dan ujian pelajar ke dalam pangkalan data, dengan itu membolehkan ibu bapa mengakses secara tepat masa keputusan akademik anak-anak mereka.

Dalam pada itu, Maszlee berkata, beliau bagi pihak kementerian memohon maaf di atas masalah tersebut dan berjanji untuk melihatnya secara teliti dan akan mengambil tindakan segera.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, laman web dan aplikasi lain yang melibatkan Kementerian Pendidikan berfungsi seperti biasa.

Sementara itu, Maszlee berkata, bagi mengelakkan isu tersebut berulang lagi di masa hadapan, pihaknya akan memaklumkan mengenai projek pengurusan dan proses pengurusan risiko terhadap semua projeknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini