KUALA LUMPUR 10 Jun – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa Majlis Raja-raja meneliti semula cadangan penubuhan Majlis Ukhuwah Islam Negara (MUIN) yang pernah dikemukakan sebelum ini bagi menjaga kepentingan agama Islam dan bangsa Melayu di negara ini.
Bekas Presiden Perkasa, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, majlis tersebut mampu bertindak sebagai ruang antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan raja-raja mengadakan perjumpaan dan membincangkan perkara berkaitan isu terbabit.
Katanya, penubuhan MUIN perlu diletakkan di bawah Majlis Raja-raja supaya dapat mengukuhkan peranan dan fungsi raja berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
“Kami tidak mempertahankan raja atas kapasiti individu atau kepentingan tertentu. Jika mereka (raja) sedia berdamping dengan kami, ia mampu membawa banyak perubahan sebagaimana pernah dilakukan dahulu dan menjadikan institusi tersebut lebih mantap.
“Majlis ini boleh mengadakan mesyuarat jika ada perkara berbangkit. Oleh itu, raja-raja Melayu perlu melihat cadangan ini yang pernah kami bentangkan dua tahun lalu. Tambahan pula terlalu banyak pihak yang mengungkit perkara tidak sepatutnya pada masa kini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sejurus mesyuarat dan pertemuan bersama Gerakan Pembela Ummah (Ummah) di Kelab Sultan Sulaiman di sini, hari ini.
Yang turut hadir ialah Timbalan Presiden Perkasa, Datuk Sirajuddin Salleh; Setiausaha Agung Perkasa, Datuk Syed Hassan Syed Ali dan Ketua Sekretariat Ummah, Aminuddin Yahaya.
Dalam majlis itu, barisan kepimpinan Perkasa memutuskan menolak peletakan jawatan Ibrahim selalu Presiden Perkasa.
Tambah Sirajuddin, Perkasa mahu bekas Presiden itu membantu menangani pelbagai isu terutama berkaitan Islam dan orang Melayu.
Walau bagaimanapun pada masa sama, Ibrahim setakat ini masih tetap dengan keputusan meletak jawatan yang dibuat olehnya.
Menurutnya, beliau mahu memberi peluang kepada pihak lain untuk menerajui Perkasa dalam usaha menjadikan pertubuhan itu sebagai medium perhubungan orang Melayu.
“Saya tidak mahu Perkasa dikaitkan dengan Ibrahim Ali dan begitu juga sebaliknya,” jelas beliau. – UTUSAN ONLINE











