Lambakan doktor, jururawat ditangani - Utusan Malaysia

Lambakan doktor, jururawat ditangani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 9 Jun – Kementerian Kesihatan akan menyelesaikan masalah lambakan graduan doktor perubatan dan jururawat baharu yang masih belum mendapat penempatan di hospital kerajaan.

Dzulkefly Ahmad

Menteri Kesihatan, Dr. Dzul­kefly Ahmad berkata, punca lambakan graduan doktor dan jururawat itu disebabkan peningkatan keluaran graduan perubatan dari institusi pengajian tempatan dan luar negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

‘‘Sebab kedua lambakan itu adalah kerana kementerian melaksanakan Dasar Mengoptimumkan Sumber Manusia bermaksud tiada tambahan jawatan baharu ditawarkan kecuali secara tukar ganti atau agihan semula,’’ katanya dalam temuramah eksklusif dengan Bernama, di sini, baru-baru ini.

Kementerian mengambil perhatian terhadap isu ber­kenaan dan bagi mengatasinya kementerian telah mengambil langkah-langkah berikut:

Mengubah kaedah lantikan secara tetap kepada lantikan secara kontrak, menerusi ka­edah ini pegawai berpeluang menjalani latihan siswazah serta mendapat Pendaftaran Penuh selaras yang disyaratkan di dalam Akta Perubatan 1971 bagi meningkatkan kemahiran klinikal dan pengalaman pegawai.

Menguatkuasakan moratorium bagi program perubatan dengan pihak Kementerian Pendidikan sehingga 30 April 2021, dengan ini bertujuan untuk mengawal had pengambilan (kuota) graduan perubatan oleh universiti dalam negara. Tempoh asal adalah selama lima tahun mulai 1 Mei 2011 hingga 30 April 2016 dan pada masa ini dilanjutkan sehingga 30 April 2021.

Beliau berkata, menerusi moratorium ini, tiada program perubatan yang baharu di peringkat Ijazah Sarjana Muda dan tiada penambahan kuota pengambilan pelajar program perubatan.

Bagaimanapun, kementerian tidak dapat mengawal kemasukan dan keluaran graduan dari universiti luar negara.

‘‘Selain itu, kementerian telah meningkatkan slot latihan siswazah daripada 10,835 kepada 11,706 melalui tambahan Hospital Latihan Siswazah. Kementerian telah me­ningkatkan bilangan hospital Latihan Siswazah daripada 38 buah hospital latihan siswazah pada tahun 2009 kepada 47 buah hospital latihan siswazah,’’ katanya.

Ia merangkumi 44 buah hospital di bawah kendalian kementerian dan tiga Hospital Pengajar (Hospital Universiti Sains Malaysia, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pusat Perubatan Universiti Malaya) pada tahun 2018.

Langkah lain yang telah diambil ialah menambah opsyen bilangan penempatan Latihan Siswazah.

‘‘Beberapa posting (penempatan) baharu telah diper­kenalkan secara berperingkat bagi meningkatkan lagi slot latihan dan penempatan bagi latihan siswazah, dan ia termasuk posting di Anaestesia, Perubatan Kecemasan, Psikiatri dan Kesihatan Primer, dimana penambahan ini dapat membantu menambahkan slot latihan siswazah,’’ katanya.

Dzulkefly berkata, kementerian juga akan meneruskan pengambilan Pegawai Perubatan Gred UD41 secara berfasa, pengambilan secara kontrak akan diadakan setiap dua bulan sekali. Bagaimanapun, bilangan pengambilan adalah bergantung pada kekosongan slot latihan.

Mengenai isu graduan jururawat yang masih belum me­nerima penempatan di hospital kerajaan, beliau berkata, kementerian telah mengurangkan bilangan pengambilan pelatih jururawat daripada 2,274 pada tahun 2016 orang kepada 1,742 orang pada tahun 2018 (penurunan sebanyak 23%).

‘‘Selain itu, kementerian akan memohon kelulusan khas daripada Jabatan Per­khidmatan Awam (JPA) untuk menambah jawatan tetap atau membenarkan kementerian melantik graduan- graduan jururawat keluaran Institut Latihan Kementerian Kesihatan secara kontrak, dan permohonan itu masih dalam pertimbangan JPA buat ketika ini,’’ katanya. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini