BANGKOK 9 Julai – Setakat ini, lapan daripada 13 anggota pasukan bola sepak ‘Wild Boars’ termasuk jurulatihnya yang terperangkap di dalam kompleks gua Tham Luang di Thailand berjaya diselamatkan pada hari kedua operasi hari ini.
Berdasarkan laporan Reuter, hanya tinggal empat lagi remaja dan seorang jurulatih yang masih berada dalam gua berkenaan selepas pasukan penyelamat berjaya mengeluarkan empat yang lain hari ini.
Kumpulan pemain bola sepak itu dan jurulatihnya terperangkap dalam gua berkenaan pada 23 Jun lalu selepas hujan lebat menyebabkan laluan keluar di gua itu dipenuhi air dan mereka ditemukan selamat oleh penyelam pada minggu lalu.
Empat remaja telah berjaya dibawa keluar semalam tetapi misi menyelamat dihentikan sementara untuk mengantikan tabung oksigen bagi operasi menyelamat yang kompleks.
Sebelum pengesahan empat lagi remaja diselamatkan hari ini, helikopter ambulans dilihat meninggalkan kawasan gua dan tiba di hospital berdekatan dengan bandar berhampiran Chiang Rai.
Para penyelamat telah memutuskan untuk meneruskan operasi mengeluarkan remaja dan jurulatih yang terperangkap kerana bimbang air dalam gua berkenaan akan meningkat lagi.
Usaha menyelamat adalah sukar kerana setiap bahagian gua memerlukan penyelamat menyelam dan ruang yang sempit dan juga perlu memanjat.
Menurut Ketua Misi Menyelamat, Narongsak Osottanakorn, usaha menyelamat diteruskan pada pukul 11 pagi (waktu tempatan hari ini dan berakhir pada pukul 9 malam.
Beliau berkata, lebih ramai ‘kakitangan’ digunakan berbanding operasi semalam.
Kesemua 12 orang penyelam sama akan meneruskan operasi hari ini kerana mereka tahu akan selok-belok dan bagaimana melaksanakan operasi menyelamat tersebut.
Nama pemain bola sepak itu yang diselamatkan tidak diumumkan sebagai menghormati keluarga remaja yang masih berada dalam gua.
Bagaimanapun, empat remaja terawal yang berjaya diselamatkan dikenali sebagai Prajak Sutham, 14; Pipat Bodhi, 15,; Monhkhol Boonpiam, 13, dan Nattawut ‘Tle’ Takamsai, 11,.
Menteri Dalam Negeri Thailand, Jeneral Anupong Paojinda mengesahkan remaja berkenaan berada dalam keadaan baik dan diberikan rawatan perubatan di Hospital Prachanukroh. – AFP/BERNAMA/AGENSI











