KUALA LUMPUR 9 Julai – Siasatan pihak polis terhadap kes bayi lima bulan, Adam Rayqal Mohd. Sufi Naeif yang ditemukan maut di rumah pengasuhnya di Kampung Nakhoda, Batu Caves dekat sini minggu lalu hampir selesai.
Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, siasatan sudah 90 peratus lengkap dan pihaknya hanya memerlukan beberapa lagi butiran bagi melengkapkan kertas siasatan tersebut.
“Kita akan serahkan kertas siasatan dalam minggu ini juga kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.
“Setakat ini hasil siasatan mendapati hanya pengasuh berusia 33 tahun sahaja terlibat dan akan disambung reman esok manakala rakan serumahnya berusia 36 tahun mungkin dibebaskan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui dalam majlis Sambutan Aidilfitri Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, di sini hari ini.
Minggu lalu, Adam Rayqal berusia lima bulan didakwa dilarikan seorang lelaki oleh pengasuhnya dari rumah wanita itu di Jalan Nakhoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves dekat sini pada pukul 6.30 petang.
Dakwaan itu menyebabkan ibu bapa bayi tersebut, Mohd. Sufi Naeif Mohd. Fauzi, 28, dan Farrah Madihah Othman, 28, membuat laporan polis.
Bagaimanapun penipuan suspek terbongkar selepas memberi keterangan meragukan dan wanita itu akhirnya membawa polis ke rumahnya serta pemeriksaan dilakukan berjaya menemukan mayat mangsa di dalam peti sejuk.
Ketika ditemukan pada kira-kira pukul 11 malam, mayat mangsa lengkap berpakaian, dibalut dengan lampin dan disumbat di dalam beg kitar semula berwarna hijau yang merupakan beg pakaiannya.











