PUTRAJAYA 9 Julai – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Ogos ini sebagai hari pengundian dan 21 Julai ini sebagai hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis di Selangor.
Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Othman Mahmood berkata, daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRK tersebut adalah sehingga suku pertama 2018 yang dikemas kini sehingga 2 Julai lalu dengan melibatkan sebanyak 51,230 pemilih berdaftar.
“Tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 14 hari iaitu bermula hari penamaan calon sehingga 3 Ogos (11.59 malam). Pengundi terdiri daripada 51,217 orang pengundi biasa dan 13 orang pengundi tidak hadir luar negara.
“Daftar Pemilih Pilihan Raya akan mula dijual pada 16 Julai ini. Pada tarikh yang sama, pengundi juga boleh membuat semakan daftar pemilih untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas SPR di ibu pejabat suruhanjaya itu di sini hari ini.
Kerusi DUN Sungai Kandis kosong berikutan kematian penyandangnya, Mat Shuhaimi Shafiei akibat kanser limfoma tahap empat pada 2 Julai lalu di Pusat Perubatan Subang Jaya.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Mat Suhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis selepas menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Pas dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dengan majoriti 12,480 undi.
Dalam pada itu, menurut Othman, bagi PRK tersebut, SPR akan melakukan penambahbaikan terhadap beberapa perkara termasuk memanjangkan tempoh masa pengundian bermula pukul 8 pagi hingga 5.30 petang.
“SPR juga akan mewujudkan dua saluran bagi pengundi berumur 60 tahun dan ke atas selain menambah saluran mengundi di pusat-pusat mengundi yang mempunyai jumlah pengundi yang ramai,” katanya.
Sementara itu, katanya, SPR juga bersetuju untuk melantik Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd. Saad sebagai Pegawai Pengurus PRK Sungai Kandis selain turut dibantu oleh tiga Penolong Pegawai Pengurus.
“Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan digunakan sebagai pusat penamaan calon dan penjumlahan undi. Pada pilihan raya ini, sebanyak 865 petugas dilantik dalam kalangan orang awam.
“Sebanyak 19 buah premis bangunan akan digunakan sebagai pusat mengundi yang mengandungi 109 saluran mengundi. Dianggarkan SPR memerlukan peruntukan sebanyak RM1.4 juta untuk menjalankan PRK ini,” katanya.
Sementara itu, Othman menambah, SPR juga menawarkan kepada mana-mana pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berminat menjalankan pemerhatian ke atas perjalanan proses PRK mulai hari penamaan calon sehingga keputusan diumumkan.











