Gubal akta dana politik - Utusan Malaysia

Gubal akta dana politik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 9 Julai – Undang-undang dana po­­litik berkaitan pembiayaan parti-parti di negara ini akan digubal sebagai usaha membanteras amalan rasuah.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, perkara itu bagi menghalang pemberian wang atau dana daripada ahli dan penyokong parti yang mengharapkan sesuatu sebagai balasan sekali gus menjurus kepada rasuah.

Beliau menjelaskan, kajian mengenai pengubalan akta itu sedang giat dijalankan ketika ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Parti politik perlukan wang, pilihan raya perlukan wang dan sumber wang itu sudah tentu datang daripada ahli dan penyokong. Tetapi apabila anda memberikan hak kepada penyokong untuk memberi dana kepada parti, mereka mungkin beri duit dengan harapan mereka mendapat balasannya.

“Maka sumbangan itu adalah rasuah dan sukar untuk mengesahkan sama ada hadiah itu rasuah atau tidak. Kita sedang melihat amalan pemberian dana politik di negara lain, sesetengah negara lain, kerajaannya yang memberi dana, dan ini menjadi amalan di Jerman.

“Di Amerika Syarikat mi­salnya, mereka mempunyai sistem lobi yang mana duit dibayar kepada pelobi untuk kerajaan melakukan perkara tertentu bagi pihak yang telah memberi duit, ini adalah rasuah dan di Malaysia kita tidak akan benarkan perkara ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antira­suah, di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong dan Ketua Pe­ngarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional, Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir memberitahu, beberapa undang-undang tertentu akan diperkenalkan bagi menangani masalah ra­suah secara khusus.

Katanya, dalam pentadbiran dahulu, beberapa kes rasuah yang jelas berlaku tidak diambil tindakan, malah diletakkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

“Tindakan yang diambil pegawai juga salah, contohnya, apabila tiga laporan yang dibuat oleh institusi yang diiktiraf kerajaan, laporan itu dianggap tidak me­nunjukkan salah laku oleh Perdana Menteri ketika itu, tetapi jika tidak ada salah laku kenapa laporan perlu diletakkan di bawah OSA.

“Kebiasaannya, anda tidak boleh menyembunyikan laporan seperti itu, apatah lagi laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara, masyarakat awam perlu tahu, tetapi ia disembunyikan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×