Sesuatu akan dan perlu berlaku - Utusan Malaysia

Sesuatu akan dan perlu berlaku

SUKAR untuk membayangkan bagaimana penyokong kerajaan yang membawa usul undi percaya terhadap menteri besar tetapi semasa mengundi memilih untuk tidak menyokong undi yang dibawanya sendiri. – MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DRAMA peletakan jawatan Menteri Besar Perak dalam keadaan terpaksa dan pelantikan penggantinya mengesahkan bahawa kerajaan pintu belakang ini sememangnya tiada hala tuju, kian tenat dan semakin memualkan, terhimpit di bawah satu bumbung yang terus menerus bocor tanpa mereka berupaya menampal lubang tersebut.

Kegelisahan kemungkinan kehilangan kuasa, selain terdesak untuk bergantung kepada kuasa sedia ada, menyerlahkan lagi belang kerajaan sekarang sejak ia mengambil alih pemerintahan negara.

Dengan berpegang kepada majoriti tipis dan sekutu yang tidak boleh dipercayai, kebimbangan kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk tumbang adalah berterusan.

Baru saja kerajaan merasai sedikit kejayaan apabila pembangkang hilang pedoman semasa bacaan kali kedua belanjawan, Langkah Perak pula muncul.

Langkah Perak, diukur dengan piawaian apa sekalipun, adalah satu tindakan tikam belakang dan pengkhianatan klasik yang boleh melangkaui kemasyhuran Brutus dan pengkhianat-pengkhianat ternama lain.

Perlu diingat, kerajaan PN di semua peringkat, negeri dan Persekutuan diasaskan untuk mewujudkan pentadbiran Melayu Islam bagi masyarakat yang didakwa sengsara semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

Justeru, Langkah Sheraton dimulakan dengan matlamat menyingkirkan kerajaan PH dan gerakan itu diberi justifikasi oleh mereka yang mengkhianati PH, bahawa ia perlu dilakukan kerana pemimpin Melayu merupakan boneka DAP dalam gabungan kerajaan tersebut.

Justifikasi ini diperkuat dengan penolakan terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dikatakan bakal Perdana Menteri PH.

Tetapi kini, setelah cuma lebih lapan bulan sejak tercetusnya Langkah Sheraton, UMNO memutuskan bahawa ia tidak lagi mahukan menteri besar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang merupakan sekutunya, lantas tidak menyokong undi percaya yang diusulkannya.

Sukar untuk membayangkan bagaimana penyokong kerajaan yang membawa usul undi percaya terhadap menteri besar tetapi semasa mengundi memilih untuk tidak menyokong undi yang dibawanya sendiri.

Tidak dapat dibayangkan juga bagaimana DAP sanggup mengundi bersama UMNO untuk menggulingkan menteri besar yang bersekutu dengan UMNO, dan setelah itu DAP menawarkan bekerjasama dengan UMNO bagi membentuk kerajaan negeri yang baharu.

Walaupun UMNO kemudiannya mengetepikan DAP setelah ia memperoleh sokongan Bersatu dan Pas bagi mendapatkan majoriti untuk calon menteri besar UMNO, hakikatnya, semua ini berlaku apabila UMNO dengan dibantu oleh DAP telah menjatuhkan seorang pemimpin Melayu Islam.

Mungkin ada yang akan menimbulkan isu bahawa ketika PH dibentuk sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14, tiada siapa pun dapat membayangkan Tun Dr. Mahathir Mohamad akan bersekutu dengan Anwar dan DAP.

Persekutuan itu walaupun bersifat Orwellian, mempunyai agenda yang jelas ketika itu dan paling utama adalah untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional yang dipimpin oleh kleptokrat-kleptokrat.

Selain itu, gabungan mereka adalah satu persetujuan pra-pilihan raya dan dengan itu pengundi mempunyai pilihan sama ada menolak atau menerima mereka. Ini bermakna pengundi boleh menilai mereka berdasarkan janji dan agenda yang mereka hidangkan.

Ini berbeza dengan kerajaan PN, sebuah kerajaan pintu belakang dan tidak pernah dipilih berdasarkan agenda atau manifestonya. Agenda paling hampir yang dianggap sebagai agenda datang daripada Perdana Menteri mereka, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan bahawa walaupun kerajaannya bukan pilihan rakyat tetapi ia berjanji akan menjaga rakyat.

TERHAKIS

Tetapi perasaan suka rakyat terhadap kerajaan ini kian terhakis. Kerajaan kini terpaksa bersandar kepada slogan perjuangan Melayu Islamnya. Tetapi itu juga semakin layu berikutan insiden Langkah Perak.

Dengan erti kata lain, tiada sebab bagi kerajaan PN untuk memerintah negara di mana ia tidak mempunyai hak ataupun keabsahan untuk berbuat demikian sejak dari mula lagi. Namun, mereka bernasib baik tetapi tidak bagi pengkritik mereka kerana pembangkang kini berpecah.

Selepas Anwar tampil mendakwa beliau memperoleh sokongan majoriti yang ‘kuat, kukuh dan meyakinkan’ daripada ahli Parlimen pada September lalu tanpa dapat membuktikannya, seluruh negara sudah bersedia untuk meneruskan kehidupan (tanpa Anwar), kecuali penyokong tegarnya.

Menjadikan keadaan lebih tidak menyelerakan ialah spekulasi cakap-bahawa majoriti yang diperoleh Anwar akan melibatkan kleptokrat UMNO.

Pada waktu sama, hari demi hari, kleptokrat ini semakin berani menonjolkan diri tanpa rasa segan silu.

Selain pembabitan dalam Langkah Perak, kisah mereka mengawal kerajaan Muhyiddin dan menebus sedikit demi sedikit kepentingan mereka dengan membuat ancaman untuk menarik diri daripada gabungan itu dan membuat kerajaan PN tumbang, bukan lagi rahsia.

Dalam pada itu, pembangkang kini seperti kehilangan arah dan membiarkan diri mereka dicela dan diaibkan kerana pemimpinnya semakin terdesak untuk menyandang jawatan perdana menteri seperti mana Muhyiddin enggan melepaskannya.

Dan dalam keadaan lebih kurang sama ini, kleptokrat menampakkan bahawa mereka mempunyai kelebihan untuk meraih manfaat daripada keadaan yang sedang berlaku kini.

Kes beberapa orang daripada kleptokrat ini digugurkan, ada pula yang telah disabitkan kesalahan atau sedang dalam perbicaraan tetapi tanpa rasa malu memberikan pendapat dan nasihat tentang bagaimana menguruskan belanjawan kerajaan. Jelas sekali kleptokrat-kleptokrat ini amat yakin bahawa mereka akan kembali berkuasa.

Semua ini berlaku di depan mata rakyat dengan para pengkritik menyuarakan rasa mual dan terkejut, sementara mereka yang mudah tertipu dan menyokong kleptokrat tampak gembira dengan perkembangan yang berlaku.

Kesemua ini menjurus kepada sesuatu perlu berlaku, akan berlaku dan perlu dilakukan.

Saranan supaya diadakan gabungan atau gerakan baharu yang mampu memastikan kleptokrat serta korupsi yang endemik ini disekat dan dihentikan, boleh memberi sedikit harapan kepada masa depan yang kelihatan suram.

Gabungan ini harus merentasi sempadan parti. Sudah tentu ada pemimpin UMNO dan Pas serta pemimpin Sabah dan Sarawak yang turut mual dengan rasuah yang berleluasa serta kehadiran semua para kleptokrat di barisan depan politik negara.

Tetapi mereka tidak menemukan gabungan atau pakatan yang sesuai dan selesa buat mereka untuk mengekang dan mengecam tindakan yang memalukan negara ini.

Malah, mereka yang berada dalam pakatan pembangkang – yang kecewa dengan pemimpin mereka yang bersedia berkompromi dan bekerjasama dengan kleptokrat dan arkitek pintu belakang demi menjadi perdana menteri dan anggota Kabinet – mereka perlu bangkit bersama untuk merubah nasib negara dan bangsa.

Dan pinggirkan kembiri-kembiri politik tersebut.

PENULIS ialah Editor The Malaysian Reserve. (Komentar asal ditulis dalam bahasa Inggeris.)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×