KUCHING 28 Jun – Program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ) sedang ditambah baik bagi manfaat masyarakat.
Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Mohd. Shafiq Anas Abdullah, program tersebut telah dilaksanakan dalam empat tempat dibuat melibatkan lebih 2,000 orang daripada tujuh tempat yang dirancang tahun ini.
“Semua program JPJ telah berjalan akan diteruskan manakala yang baharu ditangguhkan untuk melihat semula dari pelbagai segi termasuk kos dan perlaksanaan.
“Cuma untuk program JPJ Bersama Anda dan pengurangan kompaun serta saman masih diteruskan yang dilaksanakan di pejabat sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Ramah Tamah Gawai Raya JPJ Negeri Sarawak 2018 di Kompleks JPJ Sarawak sebentar tadi,
Yang turut hadir, Setiausaha Persekutuan, Datuk Mansor Man.
Mengulas lanjut, Mohd. Shafiq memberitahu, pihaknya akan terus memberi kerjasama baik kepada semua agensi Persekutuan dan Negeri dalam menjalankan perkhidmatan cemerlang.
“Warga JPJ di sini diharap akan terus mengekalkan integriti dalam menjalankan tugas kepada pelanggan demi menjaga imej jabatan,” ujarnya.
Sementara itu, Mansor berkata, pihaknya berperanan untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri meskipun berlaku perubahan kerajaan Persekutuan baru-baru ini.
“Kerjasama yang dijalankan tetap berjalan seperti biasa.
“Kita juga dari masa ke semasa akan merujuk Putrajaya dalam kerjasama dengan kerajaan negeri,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE











