NAT Sota bimbang memikirkan semangat nenek moyangnya.
Ia berikutan, empangan hidroelektrik baharu Kemboja telah membanjiri kampungnya iaitu Srekor, sekali gus menenggelamkan kawasan perkuburan nenek moyangnya.
“Kami tidak tahu sama ada mereka boleh berenang,” katanya yang tinggal di sebuah rumah kayu berhampiran empangan itu.
Nat Sota juga bimbang tentang kehidupannya dan pendidikan anak cucunya.
Ini kerana, hanya bumbung merah sekolah rendah di kampung itu kelihatan di atas air.
Wanita tersebut antara 62 etnik minoriti Kreung, Bunong dan Lao di kampung itu yang menolak tawaran kerajaan untuk berpindah ke penempatan baharu.
Sebaliknya, mereka membina sebuah penempatan berhampiran empangan itu.
Mereka enggan berpindah kerana penempatan baharu itu jauh dari Sungai Sesan yang menjadi tempat mereka mencari rezeki sebagai nelayan.
Selain itu, tawaran pampasan tunai tidak cukup untuk menampung kehilangan harta benda dan tanaman mereka.
Nasib komuniti di kawasan pedalaman utara Stung Treng itu antara kos yang perlu ditanggung dalam usaha kerajaan untuk menyediakan bekalan elektrik keseluruhan negara.
“Menjelang tahun 2020, semua kampung di Kemboja perlu memiliki bekalan elektrik,” kata jurucakap Jabatan Tenaga di Kementerian Perlombongan dan Tenaga, Victor Jona.
Pada tahun 2000, hanya 16 peratus rakyat Kemboja mendapat akses pada bekalan elektrik.
Ia meningkat kepada 31 peratus menjelang tahun 2010 dan hampir separuh penduduk mendapat bekalan elektrik menjelang 2016.
Kebanyakan kemajuan itu didorong oleh pembinaan empangan.
Menurut Bank Dunia, antara tahun 2010 dan 2014, sumbangan kuasa hidro kepada sumber tenaga meningkat daripada tiga peratus hingga 61 peratus.
Kemboja sedang mempertimbangkan dua empangan baharu bagi yang lebih kecil daripada empangan Lower Sesan 2 dari segi saiz dan kapasiti.
“Setakat ini, kerajaan telah memberikan pampasan yang adil kepada mereka yang terpaksa memberi tanah untuk tujuh empangan yang dibina,” kata Jona yang memetik empangan Lower Sesan 2 sebagai contoh terbaik yang telah siap.
Beliau berkata, kebanyakan 860 keluarga di kampung yang dekat dengan empangan itu telah berpindah ke tempat-tempat baharu. Pihak berkuasa juga telah membina sekolah, pusat kesihatan serta menyediakan rumah-rumah dan ladang.
Tidak puas hati
“Bagaimanapun, sesetengah orang tidak berpuas hati dengan pampasan itu,” jelasnya.
Dalam sepucuk surat kepada pihak berkuasa wilayah, 62 keluarga yang menetap di Srekor meminta kerajaan mengiktiraf penempatan baharu mereka sebagai “komuniti Orang Asli” dengan hak kepada tanah itu.
Lanjutan itu, kerajaan harus menyediakan pampasan tunai untuk rumah, tanaman yang musnah dan membina infrastruktur termasuk sebuah sekolah, sumur serta pusat kesihatan.
Sementara itu, penduduk kampung berkata, mereka akan tinggal di rumahnya sehinggalah air naik yang memaksa mereka berpindah pada bulan Disember.
Takungan itu telah mula penuh dan banjir pada akhir September apabila pintu pagar empangan Lower Sesan 2 telah ditutup.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen berkata, dia menolak sebarang kebimbangan terhadap projek tersebut dan percaya dengan pelan kerajaan Kemboja.
Menurut Jona, empangan itu akan beroperasi menjelang akhir tahun ini dengan lapisan turbin menghasilkan 400 megawatt (MW) elektrik.
Dalam pada itu, kebanyakan daripada 5,000 orang di enam kampung kawasan empangan itu membantah tindakan tersebut dan ahli alam sekitar meramalkan kesan buruk terhadap industri perikanan.
Satu kajian dalam jurnal Prosiding Akademik Sains Negara pada tahun 2012, meramalkan bahawa empangan Lower Sesan 2 sahaja akan menyebabkan kejatuhan 9.3 peratus biojisim ikan di seluruh Sungai Mekong.
Lembangan Mekong adalah perikanan pedalaman terbesar di dunia, kata kajian itu.
Pembinaan empangan itu akan menghalang migrasi ikan untuk penghijrahan ke tempat lain untuk mencari makan dan sukar untuk bertelur.
Menurut pendapat lain, dua lagi projek kuasa hidro yang sedang dipertimbangkan akan memberi impak yang lebih besar.
“Empangan Sambor yang dicadangkan oleh kerajaan Kemboja mungkin merupakan empangan terbesar dan ia akan mengakibatkan kerosakan teruk di Lembangan Sungai Mekong,” tegas Institut Warisan Alam iaitu sebuah kumpulan pemuliharaan yang menilai projek untuk kerajaan.
Menurut Suruhanjaya Sungai Mekong, empangan Stung Treng yang mempunyai kapasiti 978MW itu akan menenggelamkan 21 buah kampung yang menempatkan 10,617 orang
Jona berkata, kerajaan kini memberi tumpuan untuk membina loji jana kuasa arang batu dan belum memutuskan sama ada untuk membina lebih banyak empangan hidroelektrik. – Reuters











