PH, DAP mirip bergerak ke sistem republik - Utusan Malaysia

PH, DAP mirip bergerak ke sistem republik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 26 Jun – Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang menggunakan bahasa Mandarin dalam siaran media rasmi Kementerian Kewangan dilihat sebagai langkah awal kerajaan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP untuk mencabar kewujudan Akta Hasutan 1948.

UMNO
 

Unit Komunikasi Strategik, Ibu Pejabat UMNO berkata, dengan adanya desakan kuat daripada anggota kerajaan PH agar akta itu dihapuskan, Guan Eng dan DAP ‘sengaja’ mencetuskan provokasi dengan mencabul peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967 memperuntukkan agar bahasa Melayu digunakan secara rasmi dalam apa saja urusan pentadbiran negara.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tetapi tindak-tanduk Guan Eng yang disifatkan sebagai ‘silap kecil’, bukanlah sesuatu yang harus dipandang sepi kerana ia adalah tanda-tanda awal DAP ingin menghapuskan hak kaum pribumi dengan menjurus kepada pemerintahan republik yang secara tidak langsung menghapuskan institusi raja-raja Melayu secara perlahan-lahan,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Dakwa kenyataan itu, kekuatan DAP di dalam gabungan PH dilihat akan cuba mempengaruhi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar Perlembagaan Persekutuan dipinda manakala usul menghapuskan undang-undang yang ada diterima.

“Ini termasuklah Akta Hasutan, Akta Antiberita Tidak Benar 2018, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA). Maka akan wujudlah sistem liberal di Malaysia di mana segala pembohongan, fitnah dan hasutan dibolehkan tanpa tindakan.

“Di dalam masyarakat majmuk di Malaysia, cara seperti ini akan menjadi bom jangka terhadap perpaduan kaum dan kemungkinan tercetusnya semula insiden 13 Mei 1969 mungkin tidak dapat dielakkan,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, UMNO memandang serius perkara tersebut dan menggesa Dr. Mahathir dan Kabinetnya memperhalusi tindakan seperti itu bagi memelihara keharmonian negara.

“Segala kesalahan ‘yang disengajakan’ oleh mana-mana anggota Kabinet perlulah diambil tindakan agar tidak berlarutan dan menjadi provokasi terhadap keamanan nasional.

“Dr. Mahathir perlu bertegas dalam menangani isu-isu sensitif sebegini agar tidak lagi berulang pada masa depan. Isu penggunaan bahasa Mandarin mungkin sekadar langkah ‘test market’ pemimpin DAP yang terkenal cauvanis dan sekiranya tanpa tindakan tegas Perdana Menteri, perkara sama akan turut digunapakai oleh kementerian lain, khususnya yang diterajui pemimpin DAP,” kata kenyataan itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini