KUALA LUMPUR – Pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2016 dari China, Chen Long ditunjuk jalan keluar seawal pusingan pertama pada kejohanan badminton Terbuka Malaysia selepas tewas 21-23, 5-21 kepada pemain Thailand, Kantaphon Wangcharoen di Arena Axiata, Bukit Jalil sebentar tadi.
Turun sebagai pilihan kelima kejohanan, Chen Long dijangka tidak berdepan sebarang masalah untuk meloloskan diri ke pusingan kedua, namun aksinya dilihat serba tidak menjadi.
Bagaimanapun, dia mengakui sukar untuk memberikan fokus sepenuhnya pada perlawanan tersebut selain menganggap kekalahan di pusingan awal adalah perkara biasa kepada semua pemain.
Sementara itu, rakan senegara, Lin Dan yang merupakan juara bertahan terus menggalas cabaran apabila mara ke pusingan kedua selepas menewaskan pemain Hong Kong, Vincent Wong 21-17, 21-8.
Juara dunia lima kali itu dijangka bertemu seorang lagi rakan senegara, Shi Yuqi pada saingan 16 pemain terbaik yang dijadualkan berlangsung esok.
“Sebagai juara bertahan, sudah tentu saya mahu tampilkan aksi terbaik serta mendapatkan mata bagi menaikkan kedudukan ranking. Aksi menentang Shi Yuqi mungkin akan jadi satu perlawanan sukar,” kata Lin Dan. – K! ONLINE











