EKATERINBURG – Jurulatih Jepun, Akira Nishino mempertahankan corak permainan menyerang yang dipraktikkan ketika seri 2-2 menentang Senegal pada aksi Kumpulan H di Arena Ekaterinburg kelmarin.
Nishino menegaskan, beliau tetap dengan pendirian untuk menampilkan corak permainan menyerang memandangkan skuad Samurai Biru itu akan memastikan tempat ke pusingan kalah mati sekiranya melakar kemenangan ke atas Senegal.
Beliau mengakui keputusannya mema-sukkan tiga pemain penyerang pada separuh masa kedua adalah bagi memburu lebih banyak gol biarpun ramai berpendapat beliau sepatutnya memasukkan pemain pertahanan.
“Sudah tentu kami memburu kemena-ngan pada separuh masa kedua. Selepas berjaya menyamakan kedudukan buat kali kedua, saya mengambil keputusan memasukkan (Takashi) Usami dan ia nyata membuahkan hasil.
“Semua pemain gantian yang saya masukkan adalah penyerang. Saya percaya dengan keupayaan mereka kerana pemain-pemain ini mampu mendapatkan mata untuk pasukan,” kata Nishino.
Pada masa sama, beliau juga menghamburkan pujian kepada pemain veteran, Keisuke Honda yang menjaringkan gol penyamaan serta menjadi pemain Jepun pertama meledak gol dalam tiga edisi Piala Dunia.
“Honda seorang pemain yang versatil dan dia mampu menyesuaikan diri di mana-mana posisi. Memang hasrat kami untuk memenangi perlawanan biarpun tahu Senegal bukanlah lawan yang mudah,” ujarnya.
Jepun memperoleh dua gol menerusi Takashi Inui dan Honda, manakala gol Senegal dijaringkan bintang Li-verpool, Sadio Mane serta Moussa Wague. – Agensi











