Dua maut, enam cedera manakala 32 terselamat bas ekspres terbabas - Utusan Malaysia

Dua maut, enam cedera manakala 32 terselamat bas ekspres terbabas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGKAK – Dua maut manakala enam lagi cedera serta 32 penumpang terselamat apabila bas ekspres dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar penghadang jalan di Kilometer 164 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi itu, mangsa yang meninggal dunia melibatkan masing-masing seorang penumpang lelaki dan wanita manakala enam cedera membabitkan penumpang lelaki.

Sementara itu, seramai 32 penumpang lain yang terselamat terdiri daripada 31 lelaki termasuk pemandu bas dan seorang wanita.

Memuatkan artikel berkaitan…

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangkak, Abdul Rahman Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.32 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian dengan dua jentera bersama 15 anggota.

“Sejurus sampai di lokasi, pihak penyelamat mendapat dua mangsa meninggal dunia di tempt kejadian, enam penumpang cedera manakala 32 lagi terselamat.

“Penumpang yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala penumpang cedera dikejarkan ke hospital berdekatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Abdul Rahman, bas ekspres dua tingkat itu membawa 40 penumpang termasuk pemandu bas dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menuju ke Kuala Lumpur.

Katanya, menurut laporan awal punca kemalangan dipercayai berlaku daripada kegagalan pemandu bas mengawal kenderaan sebelum melanggar penghadang jalan.

Tambah Abdul Rahman, operasi menyelamat tamat pada pukul 5 pagi. – K! ONLINE
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini