WASHINGTON – Pendatang Amerika Tengah yang diusir dari Amerika Syarikat (AS) mendesak untuk menemui semula anak-anak mereka yang dipisahkan selain meminta supaya ditamatkan dasar ‘kejam’ Presiden Donald Trump.
Trump pada Rabu lalu mengarahkan agar tindakan memisahkan ahli keluarga imigran yang telah mencetuskan kemarahan domestik dan global ditamatkan, tetapi kira-kira 2,300 orang kanak-kanak telah terpisah pada masa itu.
Lebih 500 orang kanak-kanak telah berjaya disatukan semula dengan ahli keluarga mereka, menurut satu kenyataan fakta kes yang dikeluarkan oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri kelmarin.
“Kerajaan AS mengetahui lokasi semua kanak-kanak yang berada dalam jagaannya dan berusaha untuk menyatukan semula mereka dengan keluarga masing-masing,” kata jabatan tersebut.
Bagaimanapun, tempoh berapa lama penyatuan semula itu boleh dilaksanakan masih menjadi persoalan utama. Para peguam yang berusaha untuk menyatukan semula keluarga imigran tersebut memberitahu mereka bergelut dengan proses yang rumit, manakala lebih ramai pendatang terus tiba.
Seorang imigran, Ever Sierra yang dihantar pulang selepas cuba memasuki AS, memberitahu AFP dia merancang untuk mencuba lagi dalam beberapa hari.
Dia tiba di Honduras bersama kasut anak perempuannya berumur lapan bulan yang tergantung pada beg sandangnya. Dia ditahan di sebuah pusat tahanan di McAllen, Texas, bersama ibunya.
Benjamin Raymundo, 33, yang dihantar pulang ke Guatemala pula memberitahu, dia meninggalkan negara asalnya pada April lalu bersama anak lelakinya, Roberto, 5, tetapi mereka dipisahkan apabila ditahan oleh pegawai imigresen di California. – AFP











