Tindakan Noor Azmi sudah dijangka - Utusan Malaysia

Tindakan Noor Azmi sudah dijangka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN SERAI 24 Jun – Tindakan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali mengumumkan keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN) hari ini sudah di­jangka.

Ketua UMNO Bahagian, Datuk Sham Mat Sahat berkata, tindakan itu bukan sesuatu yang mengejutkan malah sudah diduga sejak selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lagi berdasarkan tindak-tanduk Noor Azmi sendiri.

“Rakyat Bagan Serai terutama penyokong UMNO dan BN sudah tahu dan sudah menduga perkara ini akan berlaku, mereka tidak terkejut malah mengalu-alukannya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Biar beliau tinggalkan UMNO dan BN, jika dalam parti mereka akan menjadi duri dalam daging. Alasan beliau keluar parti kerana UMNO Bahagian tidak beri kerjasama dan menganaktirikan beliau tidak logik,” katanya di sini hari ini.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Noor Azmi mengekalkan kerusi Parlimen Bagan Serai de­ngan majoriti 172 undi mengalahkan calon Pas, Rohaya Bakar dan calon PKR, Adam Asmuni.

Menurut Sham, rakyat boleh menilai tindakan Noor Azmi dan yang pasti tindakan itu bermakna janji setia kepada UMNO dan BN telah dikhianati.

Beliau berkata, Noor Azmi sewajarnya berasa malu kepada pengundi di sini terutama orang kampung yang memberi undi kepadanya dalam PRU-14.

Kata Sham, orang kampung tetap setia kepada UMNO dan BN walau rata-rata mereka be­kerja kampung yang membuktikan mereka tidak mengejar wang ringgit atau pangkat tetapi maruah orang Melayu.

“Saya percaya rakyat di Bagan Serai tidak akan ikut jejak mereka, rakyat masih sayangkan UMNO dan BN.

“UMNO Bahagian semakin kukuh dan ini terbukti dalam mesyuarat Bahagian semalam masih ramai yang mahu bertan­ding,” katanya.

Sementara itu, Noor Azmi Ghazali dalam sidang akhbarnya berkata, keputusan sukar tersebut diambil selepas mengambil kira kepentingan rakyat yang diwakilinya dan demi kepentingan agama, bangsa dan negara

Beliau berkata, tidak mendapat kerjasama daripada kepe­mimpinan UMNO Bahagian termasuk mendakwa dianaktirikan sehingga ada pihak yang cuba mensabotajnya semasa kempen PRU-14 yang lalu adalah antara alasan yang diberikan.

“Setelah mengambil kira pandangan rakyat serta rakan-rakan, saya membuat penghijrahan menjadi wakil rakyat Bebas. Apa guna duduk bersama mereka (UMNO) lagi, lebih baik saya buat pendirian,” katanya.

Noor Azmi turut mengumumkan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kerajaan Pakatan Harapan termasuk Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini