UMNO perlu transformasi - Utusan Malaysia

UMNO perlu transformasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, SEJAK kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), ramai pihak menggesa agar parti-parti komponen BN membuat perubahan dan transformasi menyeluruh.

UMNO sebagai tunjang BN turut digesa melakukan pembaharuan agar tidak tenggelam dalam PRU-15 nanti. Antara gesaan dan cadangan diutarakan oleh sesetengah pihak seperti membuka keahlian UMNO kepada kaum lain.

Berkenaan isu membuka keahlian UMNO, saya cenderung kepada pendapat Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) bahawa UMNO perlu menjadi parti untuk bangsa Melayu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Lagipun, tidak ada masalah UMNO menjadi parti Melayu kerana masih kekal parti terbesar dalam Parlimen dengan kekuatan 54 buah kerusi berbanding parti-parti lain dan parti terbesar di Malaysia dengan keahlian sebanyak tiga juta orang.

Jelaslah bahawa UMNO tiada masalah untuk menjadi parti berteraskan bangsa Melayu. UMNO masih mampu bangkit dan kekal relevan jika mempunyai Kabinet bayangan, dasar alternatif dan menjunjung perjuangan berteraskan intelektualisme.

Pertama, UMNO perlu mempunyai Kabinet bayangannya sendiri. Mempunyai kabinet bayangan bermaksud UMNO bukan sekadar parti pembangkang tetapi juga kerajaan dalam penantian (government-in-waiting).

Kabinet bayangan juga akan menjadikan UMNO parti pembangkang yang vokal dan mempunyai fokus. Hal ini kerana Ahli Parlimen yang menjadi menteri bayangan perlu fokus pada isu-isu diutarakan kerajaan memerintah dan juga keluh-kesah rakyat dalam isu berkaitan.

Apabila menteri bayangan mempunyai fokus, lebih berkesanlah UMNO menjadi pembangkang. Natijahnya, UMNO akan dihormati sebagai pembangkang dan menjadi alternatif terbaik buat rakyat pada PRU-15 kelak.

Kedua, UMNO perlu mempunyai dasar alternatif. Dasar alternatif ini perlu dirangka oleh Kabinet bayangan mengikut portfolio masing-masing. Dasar alternatif yang dirangka perlulah realistik dan tidak bersifat populis apabila menjadi kerajaan.

Jangan bila sampai masa menjadi kerajaan pelbagai alasan dilontarkan kerana tiada kemampuan dari sudut kewangan dan bidang kuasa. Lebih hebat lagi jika UMNO mampu menetapkan matlamat lima tahun dan merangka pelan tindakan lima tahun untuk mencapai matlamat tersebut.

Apabila UMNO mempunyai matlamat dan pelan tindakan yang jelas maka rakyat akan mendapat gambaran tentang masa depan Malaysia jika UMNO kembali berkuasa.

Ketiga, UMNO perlu jadi lebih terbuka dengan menganjurkan program berteraskan intelektualisme seperti debat, forum, dan wacana. Program-program tersebut akan mempamerkan UMNO sebagai parti yang terbuka dan bersedia menerima kritikan dan cadangan yang membina.

Bahkan program seperti itu akan menjadi platform kepada rakyat untuk mendengar pendapat alternatif berkaitan isu-isu semasa seperti politik, ekonomi dan sosial.

Ahli-ahli forum atau wacana perlulah dari kalangan profesional agar kredibiliti UMNO terjamin kerana mengangkat intelektualisme. Kesannya, rakyat bukan sahaja melihat UMNO pembela rakyat tetapi juga mengangkat martabat ilmu.

Kesimpulannya, UMNO tidak perlu meniru kaedah pembangkang terdahulu untuk menjadi kerajaan semula melainkan jika UMNO ingin berkuasa 60 tahun mendatang. UMNO perlu lari daripada politik toksik iaitu politik berteraskan kebencian.

UMNO perlu bersikap matang dan berhujah berdasarkan fakta yang sahih dan bukannya spekulasi. Bak kata Tun Dr. Mahathir Mohamad, kembalilah ke akar. Akar UMNO ialah vokal dan tegas tentang perjuangan agama, bangsa, dan tanah air.

 

IKRAM YUSOF

Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×